Sahruddin Jamal
Ahli Politik Malaysia From Wikipedia, the free encyclopedia
Remove ads
Sahruddin bin Jamal (lahir 26 Mei 1975) merupakan seorang ahli politik dan doktor Malaysia yang berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Johor bagi Bukit Kepong sejak Mei 2018[1]. Beliau pernah berkhidmat sebagai Menteri Besar Johor ke-17 dari April 2019 sehingga kejatuhan pentadbiran negeri Pakatan Harapan (PH) pada Februari 2020 serta sebagai Ahli EXCO Johor dalam pentadbiran PH di bawah bekas Menteri Besar Osman Sapian dari Mei 2018 sehingga kenaikan beliau ke jawatan Menteri Besar pada April 2019. Selain itu, beliau juga pernah menjadi Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (MPIB) dari Mei 2020 hingga Disember 2022. Beliau merupakan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), sebuah parti komponen dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) dan sebelumnya gabungan PH. Beliau telah berkhidmat sebagai Pengerusi BERSATU Negeri Johor sejak Jun 2022.[2] Sebelum itu, beliau merupakan Setiausaha BERSATU Johor sebelum dinaikkan ke jawatan Pengerusi Negeri. Beliau juga merupakan Menteri Besar Johor yang paling singkat berkhidmat dalam sejarah, dengan tempoh perkhidmatan hanya selama 321 hari.
Remove ads
Latar belakang
Sahruddin dilahirkan pada 26 Mei 1975 dalam sebuah keluarga petani di Kampung Baru Batu 28, Lenga, Muar, Johor.[3] Beliau pernah bersekolah di SMK Sultan Alauddin Riayat Shah 1, Pagoh.[4] Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS) daripada Universiti Hasanuddin, Makassar, Sulawesi Selatan, Indonesia.[1] Beliau sebelum ini pernah berkhidmat sebagai doktor perubatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar selama lima tahun dan kemudiannya mengusahakan tiga buah kliniknya sendiri, Klinik Dr Sahruddin, masing-masing di Bukit Pasir, Bandar Universiti Pagoh dan Pagoh, Muar sebelum menceburi bidang politik.[5][6]
Sahruddin berkahwin dengan Datin Dr. Nila Armila Mukdan yang juga seorang doktor dan pasangan ini dikurniakan tiga orang anak perempuan.[1]
Remove ads
Kerjaya politik
Dalam Pilihan raya negeri Johor 2018, beliau membuat penampilan sulung dalam pilihan raya selepas dicalonkan oleh Pakatan Harapan (PH) untuk bertanding di kerusi DUN Bukit Kepong. Beliau memenangi kerusi tersebut dan dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Johor bagi Bukit Kepong untuk penggal pertama.[7] Pada 16 Mei 2018, Sahruddin dilantik sebagai Ahli EXCO Johor yang bertanggungjawab dalam bidang Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian.[8]
Pada 14 April 2019, Sahruddin dinaikkan jawatan sebagai Menteri Besar Johor, menggantikan penyandang terdahulu Osman Sapian yang meletakkan jawatan selepas hanya berkhidmat selama 11 bulan.[1]
Pada 28 Februari 2020, beliau digantikan oleh Hasni Mohammad daripada Barisan Nasional (BN) selepas kejatuhan pentadbiran negeri PH berikutan Krisis politik Malaysia 2020.[9]
Selepas meninggalkan jawatan sebagai Menteri Besar Johor, Sahruddin dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (MPIB) pada 31 Mei 2020.
Pada 15 Disember 2022, pelantikan politik Sahruddin sebagai Pengerusi MPIB telah ditamatkan.
Dalam Pilihan raya negeri Johor 2022, Sahruddin dicalonkan semula oleh Perikatan Nasional (PN) untuk mempertahankan kerusi Bukit Kepong. Beliau berjaya mempertahankan kerusi tersebut dan dipilih semula sebagai Ahli DUN Johor bagi Bukit Kepong untuk penggal kedua.
Remove ads
Keputusan pilihan raya
Anugerah
Sultan Ibrahim dari Johor telah menganugerahkan kepada Sahruddin darjah Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Kedua Dato' Mulia Sultan Ibrahim Johor (D.M.I.J.) pada 22 April 2019 sempena pelantikannya sebagai Menteri Besar Johor.[14]
Johor :
Dato’ Mulia Sultan Ibrahim Johor (D.M.I.J.) – Dato' (2019)[15][16]
Lihat juga
Pautan luar
Rujukan
Wikiwand - on
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Remove ads