Talium

From Wikipedia, the free encyclopedia

Talium
Remove ads

Talium adalah unsur logam bersimbol Tl dan nombor atom 81. Ia wujud dalam bentuk pepejal berwarna putih keperakan pada suhu bilik. Talium digunakan untuk membuat bahan optik, aloi, racun tikus dan racun serangga. Sebatian-sebatian talium adalah beracun serta membawa maut. Oleh itu, sebatian-sebatian talium telah dikawal atau diharamkan di sesetengah negara.

Fakta Segera Ciri-ciri umum, Rupa ...
Remove ads

Sifat

Talium ialah sejenis unsur logam dengan takat lebur 304 °C dan mudah mengkonduksikan elektrik. Atom talium mempunyai 81 elektron dengan konfigurasi elektron [Xe] 4f14 5d10 6s2 6p1, dengan tiga elektron valens. Nombor-nombor pengoksidaan talium lazim ialah +3 dan +1.

Isotop

Talium memiliki dua isotop stabil, 203Tl dan 205Tl dan kedua-dua isotop ini sajalah yang wujud secara semula jadi. 203Tl merangkumi kira-kira di antara 29.44% - 29.59% jumlah talium alami manakala 205Tl pula merangkumi di antara 70.41% ke 70.56% jumlah talium alami.[3]

Remove ads

Sejarah

Talium ditemui melalui kaedah spektroskopi oleh William Crookes and Claude Auguste Lamy secara berasingan; Crookes ialah saintis terawal yang melaporkan penemuannya pada 30 Mac 1861. Nama talium berasal daripada perkataan Yunani, thallos (θαλλός) yang bererti "pucuk hijau" yang merujuk kepada garis spektrum talium yang berwarna hijau cerah.[4][5]

Hingga 1970-an, talium lazim digunakan sebagai racun tikus, tetapi diharamkan pada 1972 oleh pihak Amerika Syarikat akibat insiden-insiden yang melibatkan talium. Negara-negara lain turut mengharamkan penggunaan ini pada tahun-tahun berikutnya.[6] Sifat sebatian-sebatian talium yang mudah larut dalam air serta tidak mempunyai rasa menjadi punca insiden membabitkan racun talium, sama ada dalam jenayah atau pengambilan tidak sengaja.[7] Talium serta arsenik sering digelar sebagai "racun bagi si peracun" disebabkan oleh penggunaannya dalam jenayah.[8]

Remove ads

Kewujudan

Kepekatan talium di Bumi ialah kira-kira 0.7 mg/kg.[9] Galian-galian talium lazim termasuk krukesit, TlCu7Se4 dan hutcinsonit, TlPbAs5S9.[10] Kebanyakan talium boleh dijumpai dalam galian-galian berasaskan kalium, tetapi kurang menguntungkan daripada segi ekonomi. Talium juga boleh ditemui sebagai unsur surih dalam pirit. Nodul mangan di dasar lautan memiliki talium, tetapi kos pengekstrakan nodul mangan adalah terlalu mahal setakat kini serta mendatangkan ancaman kerosakan alam sekitar.[11] Kira-kira 10 tan metrik talium diekstak secara tahunan di seluruh dunia.[9]

Kegunaan

Dalam bidang optik, talium digunakan sebagai bahan tambah untuk menghasilkan kaca berketumpatan tinggi dengan takat lebur yang rendah, yakni 125 ke 150 °C. Kaca jenis ini dikatakan mempunyai sifat yang serupa dengan kaca lazim dan memiliki indeks biasan yang istimewa.[12]

Isotop talium-201 digunakan dalam perubatan nuklear. Talium digunakan dalam lampu dan sel fotoelektrik serta semikonduktor. Dalam sintesis organik, talium digunakan sebagai mangkin dalam pengoksidaan hidrokarbon dan olefin, pempolimeran, dan pengepoksidaan.[13]

Kira-kira 60 ke 70% talium yang dihasilkan digunakan dalam bidang elektronik, dan selebihnya digunakan dalam bidang farmaseutikal dan pembuatan kaca.[14]

Remove ads

Keselamatan

Keracunan

Talium serta sebatian-sebatian unsur ini adalah berbahaya terhadap manusia.[15] Pada tahap 15 mg/m2, talium disifatkan berbahaya kepada nyawa dan kesihatan secara serta-merta.[16] Gejala-gejala keracunan talium merangkumi gejala gastrousus, neurologi, okular dan dermatologi.[17] Ubat bagi keracunan talium termasuk biru Prusia.[13]

Rujukan

Pautan luar

Loading related searches...

Wikiwand - on

Seamless Wikipedia browsing. On steroids.

Remove ads