From Wikipedia, the free encyclopedia
Bermula pada 14 Disember 2014, satu siri banjir telah melanda Indonesia, Malaysia, Filipina dan Thailand. Lebih 100,000 orang telah dipindahkan di Indonesia, 200,000 di Malaysia, berpuluh ribu di Filipina[12] dan beberapa ribu di Thailand.[13][14] Banjir juga menjejaskan 1,100,000 orang penduduk di Sri Lanka.[15]
Hujan lebat pada tahun ini berpunca daripada monsun tenggara yang bertiup merentasi Laut China Selatan, menyebabkan laut tersebut lebih panas dari biasa.[16] Para saintis telah meramalkan bahawa semakin perubahan iklim memburuk, pola ribut akan menjadi semakin tidak tentu dan teruk.[13] Pembangunan pesat yang tidak mengambil kira alam persekitaran dan masalah pembetungan telah dikatakan antara faktor menyumbang.[16] Di Thailand, Perdana Menteri Prayut Chan-o-cha mengatakan banjir yang berlaku di tiga wilayah sempadan di selatan iaitu Yala, Pattani dan Narathiwat adalah yang terburuk pada tahun ini, dan menjadi bertambah buruk kerana kebanyakan jalan dibina tanpa longkang di alur banjir semulajadi.[17] Pegawai kanan meteorologi Pusat Cuaca Nasional Jabatan Meteorologi Malaysia, Mohd Hisham Mohd Anip, mengaitkan banjir di utara Malaysia dengan fenomena bulan penuh dan kewujudan monsun timur laut yang berterusan bertiup merentas Laut China Selatan dari November 2014 hingga Mac 2015.[18] Beliau mengatakan bahawa sungai-sungai telah melimpah apabila hujan tanpa henti menyebabkan air dari hulu sungai tidak mencapai kuala sungai.[18] Kerajaan Malaysia telah berjanji untuk melakukan penyiasatan menyeluruh untuk mengenalpasti punca sebenar banjir-banjir ini terutamanya di pantai timur setelah banjir surut.[19] Di Indonesia, pertambahan penduduk serta kerosakan pada alam semulajadi telah dipersalahkan bagi peristiwa banjir, di samping pemendapan dan tabiat membuang sampah ke dalam sungai.[20]
Banjir telah merosakkan 526.5 hektar kawasan pertanian di lapan daerah di keregenan Indragiri Hulu, Riau.[25] Di daerah Tamiang di Aceh, banjir memaksa kira-kira 28,000 orang berlindung di daratan tinggi.[26] Sejumlah 94,500 orang telah mencari perlindungan di Aceh setakat 27 Disember.[14] Di Jawa, hujan lebat menyebabkan Sungai Citarum melimpah ke daerah Baleendah, Dayeuhkolot dan Bojongsoang, lantas mendesak syarikat elektrik milik negara Indonesia, PT PLN untuk menutup tiga stesen janakuasa mereka di Baleendah demi keselamatan.[25] Kira-kira 15,000 rumah di Keregenan Bandung telah ditenggelami air dan 4,000 orang telah dipindahkan.[25] Keadaan darurat telah diisytiharkan di Keregenan Bandung pada 23 Disember.[27] Bencana banjir di bahagian selatan Jawa Tengah telah merebak ke Keregenan Banyumas dan melanda kampung-kampung di dalam tiga daerahnya iaitu Kemranjen, Sumpiuh dan Tambak, tetapi tiada penduduk telah dipindahkan kerana air banjir masih lagi di bawah 50 sentimeter dalam.[28]
Setakat 27 Disember, kira-kira 100,000 orang telah dipindahkan, dengan bilangan pesakit yang memerlukan rawatan di pos kawalan semakin bertambah.[14]
Banjir di Malaysia pada tahun 2014 ialah yang terburuk dalam sejarah banjir di Malaysia dengan lebih 200,000 orang dipindahkan.[29] Setakat 27 Disember, Jabatan Meteorologi Malaysia telah mengeluarkan 38 amaran cuaca buruk sejak 18 Disember; 15 daripadanya adalah amaran peringkat "Merah", 15 amaran "Jingga" dan 8 amaran "Kuning".[30]
Hujan lebat sejak 17 Disember mendesak 3,390 orang di Kelantan dan 4,209 orang di Terengganu untuk meninggalkan rumah-rumah mereka.[7] Beberapa perkhidmatan keretapi antara bandar Keretapi Tanah Melayu (KTM) sepanjang laluan Pantai Timur telah terganggu pada 18 Disember akibat banjir.[31] Pada 20 Disember, kawasan Kajang, Selangor turut dilanda banjir yang serius.[32] Menjelang 23 Disember, kebanyakan sungai di Kelantan, Pahang, Perak dan Terengganu telah mencapai paras-paras yang berbahaya.[33] Disebabkan paras air yang meningkat, kebanyakan perniagaa telah terganggu dan 60,000 orang telah dipindahkan pada hari keesokannya. Negeri Kelantan mempunyai paling ramai orang yang berpindah (20,468[34] hingga 24,765), diikuti oleh Terengganu (21,606), Pahang (10,825), Perak (1,030), Sabah (336) dan Perlis (143).[35][36]
Situasi di Kelantan dan Terengganu terus meruncing kerana hujan lebat. Kebanyakan jalan di Kelantan telah ditutup.[37] Kemaman ialah daerah yang paling terjejas oleh banjir di Terengganu, diikuti oleh Dungun, Kuala Terengganu, Hulu Terengganu, Besut dan Marang. Di Pahang, kawasan yang paling teruk terjejas ialah Kuantan, Maran, Jerantut, Lipis dan Pekan.[37] Berdozen-dozen pelancong asing terkandas di sebuah tempat peranginan di Taman Negara di Pahang; kebanyakannya adalah pelancong dari Kanada, Britain, Australia dan Romania.[38] Kesemua mereka diselamatkan melalui bot dan helikopter.[39] Di Kedah, sekurang-kurangnya 51 orang telah dipindahkan.[40] Seorang remaja di Perlis menjadi mangsa pertama yang meninggal dunia dalam banjir ini.[41]
Di selatan Malaysia, sekitar 300 ke 350 orang telah dipindahkan di kedua-dua Johor dan Negeri Sembilan.[42][43] Bilangan orang yang berpindah di seluruh negara mencapai lebih daripada 200,000 orang menjelang 28 Disember, dengan 10 orang terkorban. Banjir ini dianggap sebagai banjir yang paling teruk di negara dalam beberapa dekad.[13][39][44] Namun, angka sebenar orang yang dipindahkan, orang yang hilang dan kematian tidak diketahui kerana pusat banjir Malaysia tidak dapat memberikan angka-angka yang tepat.[45]
Di Sabah, hujan lebat sejak 21 Disember menyebabkan banjir di kebanyakan kawasan dalam daerah Beaufort. Sebanyak 30 perkampungan telah terjejas teruk disebabkan Sungai Padas yang paras airnya direkodkan pada 9.26 meter di atas paras bahaya, dan banjir disebabkan terutamanya oleh limpahan air dari hulu sungai di daerah Tenom.[46] Kira-kira 292 orang telah dipindahkan apabila situasi banjir menjadi semakin teruk di Beaufort, sementara keadaan semakin baik di daerah pedalaman Tenom dan Kemabong.[47] Pada 24 Disember, bilangan mangsa di Beaufort meningkat ke 300 dalam satu malam,[48] dan kebanyakan mangsa di Tenom dapat kembali ke rumah, dengan hanya satu daripada sebelas pusat bantuan mangsa banjir masih dibuka semakin paras air menurun.[49] Namun, lebih banyak pusat bantuan mangsa banjir dijangka akan dibuka sekiranya hujan berterusan dan air dari bahagian atas Tenom dan Keningau membanjiri Sungai Padas.[50] Di Kudat, sembilan keluarga terdiri daripada 63 orang terkesan oleh banjir dan telah berlindung di rumah-rumah saudara dan jiran-jiran.[49][50]
Visayas dan Mindanao teruk terjejas, terutamanya di kawasan sekitar Tacloban.[9] Lebih 31 orang telah terbunuh dan kira-kira 7 telah dilaporkan hilang.[23] Di sesetengah kawasan di Filipina, kedalaman air mencecah 1.5 meter.[51]
Pada 21 Disember, helikopter Bell 206 milik Tentera Thailand yang berlepas untuk misi membantu telah terhempas di daerah Muang di Yala disebabkan cuaca buruk, mencederakan empat orang krew.[52] Disebabkan insiden tersebut, tentera selatan Siam telah mengenakan pengharaman semua jenis pesawat dari 22 hingga 26 Disember dan diarahkan untuk hanya menggunakan pengangkutan darat untuk mengawasi kawasan banjir.[53] Sejumlah besar daerah di Wilayah Narathiwat telah diisytiharkan sebagai zon bencana dengan 115,853 penduduk dari 30,624 rumah terkesan.[52] Lapan daripada enam belas daerah di Wilayah Songkhla, termasuk Hat Yai, Sadao, Rattaphum, Khuan Niang, Chana, Thepha, Na Thawi dan Saba Yoi juga telah diisytiharkan kawasan bencana.[54] Di Wilayah Yala, lebih 50,000 penduduk telah terkesan akibat banjir.[55] Pada 26 Disember, Empangan Bang Lang di Yala dibuka ketika paras air mencapai paras amaran untuk memastikan keselamatan empangan tersebut.[17] Pelepasan air dari empangan tersebut memberi kesan kepada mereka di Wilayah Yala dan Pattani apabila paras air Sungai Pattani meningkat dan membanjiri rumah-rumah.[17] Setakan 28 Disember, 14 orang telah terbunuh akibat banjir.[13] Banjir kuat telah memaksa ramai orang Malaysia di negeri Kelantan yang berjiran untuk merentas [[Sungai Golok untuk membeli makanan dan air di Wilayah Narathiwat.[56]
DIanggarkan 1.1 juta orang penduduk terjejas oleh hujan lebat, banjir yang meluas, tanah runtuh, gelongsoran lumpur dan angin tinggi sejak 19 Disember 2014.[10] Lebih 6,400 buah rumah dilaporkan musnah sepenuhnya dan dianggarkan 18,537 buah rumah musnah sebahagiannya. Terdapat 39 kematian, dengan 20 orang tercedera dan 2 orang masih hilang, Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) melaporkan.
Dengan keadaan banjir ini secara beransur-ansur normal, penduduk inggal di pusat keselamatan atau bersama keluarga tuan rumah telah mula pulang ke rumah.[10]
Setakat 29 Disember, banjir telah memberi kesan kepada 102 kemudahan kesihatan di Semenanjung Malaysia, 38 daripadanya masih beroperasi.[57] Seorang pakar anestetik yang bekerja di Hospital Kuala Krai di Kelantan perlu mengintubat seorang bayi dalam gelap selepas sebuah penjana kuasa diesel kehabisan bahan api.[58] Helikopter digunakan untuk memindah pesakit-pesakit dari Hospital Kuala Krai apabila keadaan banjir semakin teruk.[59] Hospital tersebut juga berfungsi sebagai pusat bantuan sementara untuk mangsa banjir.[60] Hospiral Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian, Kelantan, mengalami kekurangan bekalan darah akibat permintaan menyelamatkan nyawa yang terlalu tinggi.[61] Pelajar-pelajar perubatan dikerah untuk membantu pegawai-pegawai perubatan yang bertugas di HUSM.[62]
Di Thailand, beg pasir penghalang disusun di sekeliling Hospital Nong Chik di Pattani, dengan empat pam yang bekerja sepanjang masa untuk mengeluarkan air banjir. Beg-beg pasir juga disusun di hospital penggalakan kesihatan Tambon Pakaharang. Sesetengah peralatan ditempatkan semula ke tanah lebih tinggi sebagai langkah berjaga-jaga. Namun, kedua-dua hospital meneruskan operasi harian biasa masing-masing.[63]
Harga minyak kelapa sawit dan getah telah melonjak kerana banjir telah mengganggu bekalan dari Thailand dan Malaysia.[64] Pengeluaran getah di Thailand dan Malaysia akan menurun sekurang-kurangnya 30 peratus dan harga telah diramalkan untuk terus meningkat.[64] Oleh sebab air banjir di Malaysia tidak menurun, pengeluaran minyak kelapa sawit jatuh mendadak.[64]
Indonesia — Sesetengah agensi Indonesia telah menyediakan tempat perlindungan di daerah-daerah yang terkesan, termasuklah di ibu pejabat polis dan tentera, serta di rumah-rumah ibadat.[25] Kira-kira 400 sukarelawan telah dikerah untuk mengedarkan bantuan dan tentera Indonesia meningkatkan bilangan kakitangannya.[14]
Malaysia — Kerajaan Malaysia telah mengerah semua aset yang ada untuk membantu dalam operasi menyelamat mangsa banjir, bilangan ahli kumpulan menyelamat ditingkatkan dan $14 juta telah diperuntukkan untuk menguruskan pusat-pusat bantuan.[65][66][67] Sejumlah $142 juta lagi dalam peruntukan telah diumumkan.[68][69] Perdana Menteri telah mengatakan bahawa sejumlah RM500 juta telah diperuntukkan untuk negeri Sabah.[70] Beliau juga menyatakan bahawa penambahbaikan dalam tebatan banjir akan diberi keutamaan dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (2016–2020) untuk mengelakkan bencana sebegini daripdaa berulang, kerana tebatan banjir yang ada pada masa kini tidak mampu untuk menampung keseluruhan banjir yang melanda beberapa negeri.[71]
Negeri Melaka telah menghantar kira-kira RM500,000,[72] kedua-dua negeri Pulau Pinang dan Selangor memperuntukan kira-kira RM1.5 juta,[73][74] negeri Sarawak menghantar kira-kira RM2 juta,[75] dan negeri Terengganu yang terkena sendiri oleh banjir telah menghantar RM1 juta lagi.[76] Sebagai tanda hormat pada semua mangsa banjir di seluruh negara, kebanyakan konsert sambutan Tahun Baru, termasuklah yang di Pahang, Perak, Sabah, Selangor dan Terengganu, telah dibatalkan.[77] Negeri Melaka telah memutuskan untuk menyambut Tahun Baru dengan cara yang ringkas dan membatalkan kebanyakan acaranya.[78]
Bank Malaysia, Maybank telah menawarkan penangguhan bayaran selama enam bulan bagi bayawan pendahuluan pinjaman dan penepian cas-cas tertentu atas dasar kes-demi-kes bagi pengguna yang telah terkesan oleh banjir di negara tersebut.[79] Bank tersebut juga telah membantu mangsa-mangsa banjir melalui perkongsian baru-baru ini antara Yayasan Maybank dan Mercy Malaysia.[79] Johor FA telah mengumumkan sumbangan sebanyak RM100,000 untuk membantuk bilangan mangsa banjir yang semakin meningkat di Pantai Timur.[80]Pelbagai organisasi bukan kerajaan telah menyumbang bantuan mereka.[81]
Thailand — Askar-askar di Thailand telah mula mengedarkan air bersih kepada mangsa-mangsa banjir dan menghentikan kereta-kereta daripada memasuki jalan-jalan yang banjir.[54] Timbalan Menteri Dalam Negeri Suthee Markboon telah menugaskan Jabatan Pencegahan dan Pengurangan Bencana di setiap wilayah untuk menghantar bantuan dengan segera kepada mereka yang terkesan akibat banjir, meninjau kerosakan dan mempercepat pelan pemulihan.[4] Jabatan Pencegahan dan Pengurangan Bencana (DDPM) telah bekerjasama dengan tentera dan unit-unit lain yang berhubung dengan bantuan banjir di setiap wilayah untuk memasang pam-pam air dan menilai kerosakan yang disebabkan oleh banjir.[4]
Sri Lanka — Lebih daripada 7,000 anggota tentera telah dikerahkan ke kawasan yang terjejas akibat banjir bagi operasi mencari dan menyelamat.[82]
Republik Rakyat China — Kerajaan China telah mendermakan sebanyak US$100,000 (RM339,160) kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia.[83] Duta China ke Malaysia Huang Huikan mengatakan bahawa kerajaan China "mengambil berat terhadap saudara-saudaranya di Malaysia yang terjejas akibat banjir.[84] China berharap untuk bersama-sama Malaysia dan tidak akan membiarkan orang Malaysia menghadapi cabaran sebegini sendirian". Beliau menambah bahawa China berjanji untuk memberikan sebanyak mungkin bantuan kepada Malaysia.[84]
Singapura — Pemerintah Singapura telah mencagar S$100,000 untuk mangsa banjir di Malaysia.[85] Kementerian Luar Negeri Singapura telah mengumumkan dalam satu kenyataan bahawa wang akan disalurkan kepada mangsa-mangsa banjir melalui Palang Merah Singapura (SRC), dengan tambahan sebanyak S$127,000 untuk disalurkan daripada Dana Kecemasan Respons Bencana Singapura.[85] Tambahan RM600,000 (S$227,000) lagi diberikan kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) pada 30 Disember.[85] Unit penulenan air telah dihantar untuk memastikan yang kawasan yang terjejas mempunyai air minuman yang bersih.[85]
Semua masjid di Singapura telah menguruskan satu kutipan derma istimewa untuk membantu mangsa-mangsa banjir di negara berjiran Malaysia.[86]
Emiriah Arab Bersatu — Sheikh Hamdan bin Zayed Al Nahayan, Presiden Bulan Sabit Merah Emiriah, telah mengarahkan bantuan kecemasan dihantar kepada mereka yang terselamat dari banjir di negeri-negeri timur laur Malaysia iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang.[87]
Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menguruskan krisis banjir setelah Perdana Menteri Malaysia Najib Razak didapati tidak muncul segera bertindak.[88] Namun, Perdana Menteri kemudiannya menamatkan percutiannya disebabkan kritikan daripada umum apabila beliau dilihat bermain golf dengan Barack Obama di Hawaii, Amerika Syarikat.[89] Sesetengah mangsa menuduh kerajaan lambat memberi bantuan.[44][67] Namun, Najib mengatakan bahawa permainan golf tersebut perlu dalam membangunkan ikatan diplomatik dengan Amerika Syarikat dan acara ini telah dirancang jauh sebelum bencana banjir bermula.[90]
Menteri Besar Kelantan, Dato' Ahmad Yakob, mengatakan bahawa banjir ini berpunca daripada kemurkaan Allah. Oleh itu, kerajaan negeri Kelantan perlu menguatkuasakan hukum hudud, meskipun tentangan hebat terhadapnya.[91] Namun, bangunan perhimpunan negeri di mana kerajaan negeri sepatutnya membincangkan hukum hudud telah digenangi air sejak 25 Disember.[92] Kesannya, kerajaan negeri menangguhkan perbincangan khas ini pada tarikh akan datang.[93] Namun, kerajaan negeri diberitahu untuk membantu mangsa-mangsa banjir terlebih dahulu sebelum memfokuskan terhadap isu hudud tersebut.[94] Sultan Muhammad V Kelantan meminta agar langkah-langkah lebih mesra alam diambil untuk mengelakkan banjir sebegini daripada berulang.[95]
Misi-misi menyelamat sukar dijalankan kerana keadaan cuaca yang tidak tertentu dan kerana sesetengah penduduk enggan berpindah.[66][96] Seorang ketua kampung di Kampung Jimah, Lukut, Negeri Sembilan, telah mencuba untuk menghalau wakil-wakil pembangkang yang ingin memberi bantuan kepada mangsa-mangsa banjir.[97] Dalam peristiwa lain, wakil-wakil pembangkang telah dihalau oleh pihak berkuasa apabila mereka cuba untuk memberi bantuan kepada sebuah pusat bantuan mangsa banjir di Kluang, Johor.[98]
Disebabkan perkara ini, kebanyakan orang awam telah meminta kedua-dua parti kerajaan dan pembangkang untuk bekerjasama, berbanding mempolitikkan semua isu.[99][100]
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.