Ab Rauf Yusoh
Ketua Menteri Melaka ke-13 (2023-kini) From Wikipedia, the free encyclopedia
Remove ads
Ab Rauf bin Yusoh (Jawi: اب رؤوف بن يوسف; lahir 20 September 1961) merupakan seorang ahli politik di Malaysia yang telah berkhidmat sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 sejak Mac 2023 dan Ahli Dewan Undangan Negeri Melaka (ADUN) bagi kawasan Tanjung Bidara sejak November 2021. Beliau pernah berkhidmat sebagai Ahli Kanan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka (EXCO) dalam pentadbiran negeri Barisan Nasional (BN) di bawah bekas Ketua Menteri Sulaiman Md Ali dari November 2021 hingga kenaikan beliau sebagai Ketua Menteri pada Mac 2023 serta sebagai Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Melaka dari Mei 2020 hingga Oktober 2021. Beliau merupakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Ketua Bahagian Masjid Tanah bagi Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), sebuah parti komponen dalam gabungan BN. Beliau juga telah berkhidmat sebagai Pengerusi BN dan UMNO negeri Melaka sejak Julai 2018.[1][2]
Remove ads
Kehidupan awal dan pendidikan
Ab Rauf bin Yusoh dilahirkan pada 20 September 1961 di Masjid Tanah, Melaka, Malaysia.[3] Beliau adalah merupakan anak bongsu kepada sepasang penoreh getah.[4] Beliau mendapat pendidikan awal di SK Jeram, Melaka. Beliau mempunyai kelulusan sijil profesional teknikal penyaman udara di Institut Kemahiran MARA (IKM), Kampung Pandan, Kuala Lumpur.
Kerjaya awal dan perniagaan
Ab Rauf adalah seorang tokoh korporat yang berjaya sebelum melibatkan diri ke dalam dunia politik. Beliau pernah bertugas sebagai Pegawai Eksekutif atau Pengarah di syarikat-syarikat yang tersenarai di Bursa Saham. Di antara syarikat yang pernah beliau berkhidmat adalah RadiCare dan Talam Corporation Bhd.
Kerjaya politik
Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Melaka (2020–2021)
Pada 11 Mei 2020, Ab Rauf telah dipilih sebagai Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Melaka bagi menggantikan Omar Jaafar daripada PH selepas BN mengambil alih pentadbiran negeri daripada PH pada 9 Mac 2020. Pada 4 November 2021, beliau mengumumkan bahawa DUN telah dibubarkan selepas Ketua Menteri ketika itu, Sulaiman Md Ali, kehilangan sokongan majoriti di dewan akibat penarikan sokongan terhadap beliau sebagai Ketua Menteri oleh 4 orang ADUN.
Ahli Dewan Undangan Negeri Melaka (sejak 2021)
Dalam pilihan raya negeri 2021, Ab Rauf telah membuat penampilan sulung pilihan rayanya dan dicalonkan oleh BN untuk bertanding di kerusi Tanjung Bidara bagi menggantikan penyandang yang bersara, Md Rawi Mahmud. Dalam pilihan raya yang sengit itu, beliau memperoleh sebanyak 3,559 undi dan berjaya menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Mas Ermieyati Samsudin yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab ke atas Parlimen dan Undang-undang serta Ahli Parlimen (MP) bagi Masjid Tanah dengan majoriti tipis sebanyak 364 undi sahaja.
Ahli Kanan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka (2021–2023)

Pada 26 November 2021, Ketua Menteri Sulaiman telah melantik Ab Rauf sebagai Ahli EXCO Kanan bagi portfolio Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi.[5] Sebagai satu-satunya Ahli EXCO Kanan, Ab Rauf merupakan de facto Timbalan Ketua Menteri dan individu kedua paling berkuasa dalam kerajaan negeri Melaka selepas Sulaiman. Dalam peranannya sebagai Ahli EXCO Kanan, Ab Rauf bekerjasama rapat dengan agensi kerajaan negeri seperti Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) Melaka, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) serta syarikat swasta tempatan dan antarabangsa. Beliau turut membantu negeri memperoleh pelbagai projek pembangunan dan pelaburan langsung. Antara projek penting ialah rangkaian rel Transit Aliran Ringan (LRT) yang menggunakan teknologi Maglev (Magnetic Levitation) dan menghubungkan semua daerah di negeri Melaka.[6][7][8][9][10]
Ketua Menteri Melaka (sejak 2023)
Membentuk EXCO dan kerajaan negeri
Pada 31 Mac 2023, Ab Rauf telah mengangkat sumpah dan dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 bagi menggantikan Sulaiman[11] yang disahkan meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri dua hari sebelumnya pada 29 Mac 2023.[12] Terdapat spekulasi dan khabar angin yang kerap bahawa Sulaiman dipaksa meletakkan jawatan oleh Ab Rauf serta wujud perselisihan antara Ab Rauf dan Sulaiman kerana Ab Rauf yang ketika itu merupakan Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan UMNO Melaka tidak dilantik sebagai Ketua Menteri selepas pilihan raya negeri 2021, sekali gus memecahkan konvensyen bahawa ketua gabungan politik dan parti terbesar lazimnya dilantik sebagai Ketua Menteri.[13] Sebaliknya, Setiausaha UMNO Melaka, Sulaiman, telah dilantik semula.[14] Namun begitu, kedua-duanya kerap menafikan spekulasi dan khabar angin tersebut. Sebelum pelantikan beliau, Timbalan Perdana Menteri dan Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan bahawa keputusan Sulaiman untuk meletakkan jawatan adalah kerana "masalah kesihatan", yang dipersoalkan oleh ramai pihak,[15] dan hanya mencadangkan nama Ab Rauf kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka, Mohd Ali Rustam untuk dilantik sebagai Ketua Menteri baharu.[16] Pelantikan beliau turut menerima kritikan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN kawasan Rembia, Muhammad Jailani Khamis yang menggelar beliau sebagai "Ketua Menteri pintu belakang". Mengulas kritikan Jailani yang bertindak menentang parti dengan tidak menyokong beliau, Ab Rauf mengambil pendekatan "tunggu dan lihat" sebelum memutuskan sebarang tindakan disiplin terhadap Jailani[17] serta menggesanya supaya tidak menjadi "wira" yang mencari publisiti politik murah dengan menentang parti dan mengkritik beliau.[18] Mengenai kemungkinan membentuk kerajaan campuran dengan Pakatan Harapan (PH) dengan melantik ADUN PH ke dalam barisan EXCO, sepertimana kerajaan campuran di peringkat Persekutuan, Ab Rauf menyatakan bahawa beliau masih belum menerima sebarang petunjuk daripada kepimpinan pusat partinya. Beliau memberi jaminan bahawa barisan EXCO akan dimuktamadkan dan diumumkan dalam tempoh dua hari selepas perbincangan bersama Ahmad Zahid. Beliau turut berikrar untuk menjadikan Melaka sebagai negeri mesra pelabur. Menurutnya, Melaka merupakan negeri paling stabil dari segi politik di Malaysia kerana BN telah memperoleh kemenangan besar dalam pilihan raya negeri 2021. Beliau menggambarkan barisan EXCO yang bakal dibentuk sebagai inklusif dan mencerminkan kerajaan campuran di peringkat Persekutuan, secara tidak langsung mengesahkan bahawa EXCO tersebut akan terdiri daripada ADUN BN dan PH serta bersifat pro-perniagaan dan pro-reformasi.[19] Ahmad Zahid juga secara tidak langsung mengesahkannya. Pada 1 April 2023, Ab Rauf secara terus mengesahkan perkara itu dan meminta rakyat menjangkakan barisan EXCO yang teladan, menarik dan berdaya tarikan.[20] Pada 3 April 2023, beliau mendedahkan bahawa EXCO Melaka berkemungkinan besar mengangkat sumpah dua hari kemudian pada 5 April 2023, manakala senarai tersebut telahpun diterima oleh Ahmad Zahid pada 2 April 2023.[21] Pada 5 April 2023, barisan EXCO beliau telah mengangkat sumpah. Beliau mengekalkan tujuh EXCO daripada barisan EXCO Sulaiman II dan melantik tiga ahli baharu. Barisan ini terdiri daripada 10 ADUN BN dan hanya seorang ADUN PH.[22] Beliau turut menaikkan pangkat Timbalan Pengerusi UMNO Melaka, Rais Yasin sebagai EXCO Kanan, jawatan yang sebelum ini disandang oleh Ab Rauf sendiri, sekali gus menjadikan Rais sebagai de facto Timbalan Ketua Menteri dan individu kedua paling berkuasa dalam kerajaan negeri selepas Ab Rauf. Beliau juga mengumumkan penubuhan semula jawatan Timbalan EXCO yang telah dimansuhkan pada 2018.[23] Tambahnya, kesemua 10 EXCO akan mempunyai seorang timbalan masing-masing dan 10 Timbalan EXCO tersebut akan diumumkan pada 6 April 2023. Beliau menolak dakwaan bahawa pelantikan Timbalan EXCO membazirkan sumber dan kewangan kerana hasratnya adalah untuk memberi peranan kepada semua ADUN agar dapat bekerjasama dengannya membangunkan negeri. Pada 6 April 2023, beliau menurunkan pangkat Low Chee Leong dan Zaidi Attan sebagai Timbalan EXCO, sedangkan mereka sebelum ini berkhidmat sebagai EXCO penuh. Penurunan pangkat merupakan perkara yang jarang berlaku dalam politik Malaysia. Selepas mengumumkan barisan Timbalan EXCO, beliau menjemput dua ADUN pembangkang Melaka daripada PN untuk menyertai kerajaannya sebagai usaha membentuk kerajaan perpaduan, iaitu kerajaan tanpa pembangkang yang merangkumi semua ADUN Melaka. Sekiranya berjaya, ia bakal menjadi kerajaan perpaduan pertama dalam sejarah Melaka dan Malaysia.[24] Beliau turut menegaskan bahawa beliau lebih gemar mencari titik persamaan dengan Jailani berbanding mengambil tindakan terhadapnya. Namun, pada 7 April 2023, pelawaannya ditolak oleh Ketua Pembangkang negeri, Mohd Yadzil Yaakub kerana pihaknya mahu terus menjalankan fungsi semak dan imbang terhadap kerajaan negeri dan bukannya melompat parti demi kepentingan peribadi.[25]
Remove ads
Keputusan pilihan raya
Remove ads
Anugerah
Malaysia :
Panglima Jasa Negara (P.J.N.) – Datuk (2010)[27]
Malacca :
Darjah Utama Pangkuan Negeri Melaka (D.U.N.M.) – Datuk Seri Utama (2023)[28]
Darjah Gemilang Seri Melaka Panglima (D.G.S.M.) – Datuk Seri (2017)[29]
Darjah Gemilang Seri Melaka Dato' Paduka (D.C.S.M.) – Datuk Wira (2014)[30]
Darjah Gemilang Seri Melaka Kelas Pertama (D.M.S.M.) – Datuk (2002)[31]- Jaksa Pendamai (J.P.) (2012)[32]
Pahang :
Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (S.S.A.P.) – Dato' Sri (2015)[33]
Remove ads
Rujukan
Wikiwand - on
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Remove ads