Semang

Kumpulan etnik peribumi di Malaysia dan Thailand From Wikipedia, the free encyclopedia

Remove ads

Orang Semang merupakan kelompok etnik Negrito yang berasal dari Semenanjung Melayu.[5][6] Mereka terdapat di negeri Perak, Pahang, Kelantan[7] dan Kedah di Malaysia[8] serta wilayah selatan di Thailand.[9] Orang Semang dicatatkan pernah menduduki Semenanjung Melayu sejak sebelum abad ketiga. Secara etnologi, mereka dihuraikan sebagai masyarakat pemburu-pengumpul yang berpindah-randah.[10]

Fakta Segera Negrito / Pangan / Ngò' Pa, Jumlah penduduk ...

Orang Semang tergolong dalam masyarakat suku Orang Asli. Dalam sejarah, mereka cenderung berdagang dengan masyarakat setempat. Selama lebih seribu tahun Orang Semang lebih gemar hidup di hutan dan terpencil dari bandar.[11]

Remove ads

Nama dan status

Thumb
Sekumpulan lelaki Semang di Gerik, Perak, Malaya, 1906.

Di Malaysia, istilah Orang Semang membawa maksud suku pribumi yang diberi gelaran am Negrito atau "hitam kecil" dalam bahasa Sepanyol. Pada zaman dahulu, kelompok-kelompok Semang timur digelar Pangan. Orang Semang di Thailand dipanggil Sakai, tetapi gelaran ini kini dianggap menghina di Malaysia.[12]

Di Malaysia, orang Semang merupakan salah satu daripada tiga kelompok yang digelar "Orang Asli", iaitu kaum pribumi Semenanjung Malaysia, di samping Senoi dan Melayu Proto. Orang Semang terdiri daripada enam cabang, iaitu Kensiu, Kintaq, Lanoh, Jahai, Mendriq dan Bateq. Kerajaan persekutuan Malaysia telah menubuhkan agensi Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dengan tujuan menyepadukan Orang Asli ke dalam masyarakat raya Malaysia.

Pembahagian Orang Asli kepada tiga kategori ini diwarisi oleh kerajaan Malaysia dari penjajah British, berdasarkan konsep ras yang menanggap golongan Negrito sebagai kaum paling primitif yang menjalani kehidupan seakan petualang sebagai pemburu-pengumpul. Senoi dianggap lebih maju, semenatara Melayu Proto disamatarafkan dengan Melayu Malaysia.

Di Thailand, istilah Semang dan Orang Asli digantikan dengan istilah Sakai atau Ngopa (Ngopa bermaksud "orang berambut keriting"). Istilah Sakai adalah menghina di Malaysia kerana dikaitkan dengan gambaran orang liar, orang tawanan, atau hamba abdi. Orang Semang menerima sedikit sebanyak naungan daripada kerabat diraja Thailand.

Remove ads

Ciri-ciri fizikal

Thumb
Lelaki Semang di Malaya, 1906.

Orang Semang berbeza dari jiran-jiran etnik mereka bukan hanya dari segi gaya hidup, bahkan juga dari segi antropologi. Mereka tergolong dalam ras Negrito yang mempunyai ciri-ciri am seperti susuk badan yang pendek (kira-kira 150 cm bagi lelaki dan 140 cm bagi wanita), kulit gelap, rambut keriting, hidung lebar, bibir berisi, mata bulat dan tulang pipi rendah.[13][14] Antara wakil-wakil lain bagi ras ini termasuk penduduk pribumi Kepulauan Andaman di India dan orang Aeta di Filipina.[15]

Remove ads

Kelompok etnik

Thumb
Sekumpulan Semang berpakaian tarian tradisional di Kuala Sam, Kelantan, 1906.

Orang Semang merupakan kelompok etnik yang biasanya hanya disatukan atas dasar ciri-ciri ras dan budaya, padahal mereka tidak berkongsi jati diri etnik yang sama.[16]

Terdapat sekurang-kurangnya 10 kelompok etnik Orang Asli yang tergolong dalam "Semang" (bukan semua diperakui oleh kerajaan Malaysia):-

  • Suku Kensiu tinggal di bahagian utara Kedah, berdekatan sempadan Thailand. Kebanyakannya menghuni Kampung Lubuk-Legong di Daerah Baling, Kedah.[17]
  • Suku Kintaq juga mempunyai satu buah kampung sahaja yang terletak berhampiran bandar Gerik di Daerah Hulu Perak, Perak.[18] Dahulu mereka berpindah-randah sekitar Klian Intan di Daerah Hulu Perak District dan berhampiran Daerah Baling di Kedah.
  • Suku Lanoh tertumpu di tiga buah kampung yang terletak berhampiran Gerik di Daerah Hulu Perak.[19] Di kalangan mereka juga terdapat pelbagai puak seperti Lanoh Yir (barangkali berpindah-randah), Lanoh Jengjeng (separa menetap) dan lain-lain lagi.[20]
    • Suku Semnam tidak termasuk dalam senarai rasmi JAKOA, sebaliknya tergolong dalam suku Lanoh. Mereka tinggal di tepi Sungai Ayer Bal berhampiran Kampung Kuala Kenering di Daerah Hulu Perak.[20]
    • Suku Sabub'n juga tergolong dalam Lanoh. Saki-baki puak yang hampir pupus ini di samping lain-lain kelompok Lanoh tinggal berhampiran Lenggong dan Gerik di Daerah Hulu Perak.[21]
  • Suku Jahai tinggal di pergunungan yang menyempadankan negeri Perak dan Kelantan, di selatan sempadan Thailand. Inilah satu-satunya puak Semang yang mendiami kawasan gunung. Mereka tertumpu di kawasan tepi sungai atau tasik. Di Perak, mereka hidup di sepanjang sungai seperti Sungai Banun, Sungai Tiang dan berhampiran Tasik Temenggor di Daerah Hulu Perak.[22] Di Kelantan, mereka tertumpu sepanjang sungai-sungai seperti Sungai Rual dan Sungai Jeli di Jajahan Jeli.[23]
  • Suku Mendriq tinggal di beberapa kampung di sepanjang kawasan pertengahan Sungai Kelantan, di kawasan terpencil Jajahan Gua Musang di selatan Kelantan.[24]
  • Suku Bateq:-
    • Bateg Deq rata-ratanya tinggal di Sungai Aring di selatan Kelantan, dan daerah-daerah berhampiran di Terengganu dan Pahang. JAKOA tidak membezakan puak-puak Bateq.[25]
    • Bateg Nong, tinggal di daerah-daerah Jerantut (dua kampung) dan Lipis (lima kampung) di utara Pahang, dan Jajahan Gua Musang (empat kampung) di Kelantan.[25]
    • Suku Mintil atau "Mayah" tinggal di sepanjang tebing Sungai Tanum berdekatan Chegar Perah di Daerah Lipis, Pahang.[25] Secara rasminya, mereka tergolong dalam Bateq.[26]

Beberapa lagi kelompok kecil Semang tinggal di wilayah selatan Thailand. Kelompok berpindah-randah ini disebut dengan nama-nama seperti Tonga, Mos, Chong and Ten'en. Mereka menggelar diri Mani,[27] tetapi belum dipastikan hubungan linguistik mereka.

Disebabkan jumlah mereka yang kurang, kaum Semang semuanya berdepan dengan kepupusan.

Remove ads

Bahasa

Thumb
Semang dari Gerik atau Janing, Perak, 1906.

Bahasa-bahasa Semang tergolong dalam cabang Asli dalam salasilah Austroasiatik. Bahasa-bahasa Asli juga dituturkan oleh masyarakat jiran Senoi. Pertalian bahasa inilah yang membezakan Semang dan Senoi daripada populasi Melayu dan Thai.

Dipercayai bahawa bahasa-bahasa Asli didatangkan ke Semenanjung Melayu dari kawasan Thailand moden di utara. Nenek moyang Semang sudah lama mendiami semenanjung sebelum ini, maka ternyata mereka pernah menuturkan bahasa-bahasa lain yang tidak diketahui, namun tidak terdapat buktinya yang diperoleh secara langsung dari kosa kata mereka.[28]

Bahasa-bahasa Asli terdiri daripada empat cabang, iaitu bahasa-bahasa Asli Utara, bahasa-bahasa Asli Tengah, bahasa-bahasa Asli Selatan, dan bahasa Jah Hut.

Di kalangan masyarakat Semang Malaysia, terdapat bahasa-bahasa dan loghat-loghat seperti Kensiu, Kentaq Bong, Kintaq Nakil, Jahai, Minriq, Bateg Deq, Mintil, Bateg Nong, Semnam, Sabüm, Lanoh Yir dan Lanoh Jengjeng. Kebanyakan bahasa tersebut membentuk cabang bahasa Asli Utara di bawah bahasa-bahasa Asli, kecuali loghat-loghat Lanoh dan Semnam yang tergolong dalam bahasa Asli Tengah. Sedikit sahaja bahasa Semang yang dikaji di Thailand, iaitu Kensiu atau Jahai.[25]

Antara ciri-ciri khas bahasa-bahasa Semang ialah tiadanya sempadan yang jelas sesama mereka. Perkara ini kebiasaan bagi bahasa-bahasa yang penuturnya terdiri daripada kelompok kecil yang berpindah-randah, di mana seringkali terdapat ahli-ahli dari pelbagai suku etnik yang hidup bersama dalam penempatan sementara yang sama. Oleh itu, kesemua bahasa Asli Utara sama-sama membentuk satu jaringan besar bahasa yang saling berhubungan. Begitu juga dengan bahasa Lanoh yang mempunyai jaringan serupa tetapi lebih kecil.[29]

Bukan semua bahasa Semang diteruskan hingga hari ini, malah sesetengah loghat sudah pupus sama sekali. Loghat-loghat yang masih ada turut terancam, misalnya Sabüm, Semnam, dan Mintil. Selain bahasa ibunda masing-masing, masyarakat Semang juga bertutur dalam bahasa Melayu di Malaysia dan bahasa Thai di Thailand. Juga terdapat banyak kata serapan Melayu dan Thai dalam semua bahasa Semang. Selain daripada itu, bahasa-bahasa Asli turut meminjam kata dari satu sama lain.

Remove ads

Populasi

Thumb
Sekumpulan orang Semang di sempadan Jarum, Kedah-Daerah Raman, Thailand, 1906.

Dinamik populasi Negrito (Semang) semenjak Malaysia diisytiharkan merdeka:-

Maklumat lanjut Tahun ...

Taburan subkumpulan Orang Asli Negrito di Malaysia mengikut negeri (1996):-[30]

Maklumat lanjut Kedah, Perak ...

Populasi Semang di Thailand dianggarkan seramai 240 orang (2010).[29]

Remove ads

Sejarah

Dipercayai bahawa orang Semang sudah mendiami Semenanjung Melayu selama sekurang-kurangnya 30,000 tahun. Mereka dikaitkan dengan pembawa awal budaya Hòa Bình dari Zaman Mesolitik yang tertabur di Asia Selatan dari kawasan Vietnam hingga bahagian timur laut Sumatera pada alaf ke-9 hingga ke-3 SM. Budaya hidup Hòa Bình pada dasarnya sejajar dengan Semang, iaitu selaku pemburu-pengumpul. Akan tetapi, ini tidak bermakna Orang Asli moden mempunyai persamaan fizikal dengan penghuni kuno tadi. Pembawa budaya Hòa Bình tingginya sederhana, tengkoraknya besar dengan muka yang sangat kecil dan lebar. Terbantutnya pertumbuhan penduduk Semenanjung Melayu serta terbentuknya tengkorak yang bujur dikaitkan dengan penyesuaian kepada keadaan persekitaran.[33]

Kira-kira 4,000 tahun lalu, amalan pertanian tebang bakar tiba di Semenanjung Melayu, tetapi amalan memburu dan memungut masih diteruskan.[34] Pendatang baru memperkenalkan bahasa-bahasa Asli kepada semenanjung, dan kini penduduk Semang bertutur dalam bahasa-bahasa Senoi dan Semang. Dipercayai bahawa nenek moyang Senoi adalah petani sementara nenek moyang Semang terus mengamalkan pemungutan tanaman di samping perdagangan dan pertanian. Golongan Semang dan Senoi masih ketara berbeza kerana terdapat pantang-larang utuh yang menegah perkahwinan campur sesama dua kaum.

Selepas 500 SM, sudah dibangunkan perdagangan maritim dan Semenanjung Tanah Melayu menjadi persimpangan yang menghubungkan India dengan China.[35] Di kawasan pantai terbinanya petempatan, ada di antaranya dimajukan menjadi bandar besar, terdiri daripada saudagar luar yang menjalin hubungan erat dengan China, India, Timur Tengah, dan Mediterranean. Orang Semang berperanan sebagai pembekal hasil hutan yang mendapat permintaan tinggi di negara luar seperti kayu wangi, kapur barus, rotan, sumbu badak, gading gajah, dan sebagainya, di samping menjadi pengawal hutan.

Kaum Semang dihampiri Kerajaan Melayu Srivijaya, di mana pada tahun 724 M, dua orang Semang kerdil dijadikan ufti kepada raja-raja Melayu. Orang Semang kerdil dari hutan-hutan selatan diabdikan dan dipergunakan sehingga zaman moden.[11]

Di akhir abad ke-14, di pesisir Selat Melaka, petempatan saudagar terawal ditubuhkan oleh penduduk Melayu dari Sumatera,[36] berpusatkan negeri Melaka. Di awal abad ke-15, raja Melaka memeluk agama Islam. Penduduk Melayu beransur-ansur berpindah ke hulu, menyebabkan orang Asli ditakluki atau terpaksa berpindah ke pedalaman.[37]

Pada awalnya, masyarakat Semang berdamai dan berdagang dengan orang Melayu, tetapi semenjak mantapnya negeri-negeri Melayu, hubungan antara dua kaum mula tegang. Pada abad-abad ke-18 dan ke-19, orang Semang dan Orang Asli lain ditawan oleh penjarah Melayu sebagai hamba abdi.[37] Sebagai balasan, masyarakat Semang berikhtiar untuk mengelak sebarang pertembungan dengan orang luar. Demi mempertahankan kebebasan mereka, orang Semang memusnahkan kediaman mereka serta-merta seandainya diceroboh orang luar, maka mereka akan kekal bersembunyi atau "tertutup" di tengah hutan.[38]

Thumb
Lelaki Semang, 1899.

Makin terpencilnya Semang dari masyarakat sekeliling, maka makin hairanlah dipandang orang. Ramai penduduk Asia Tenggara beranggapan bahawa hutan rimba dihuni oleh makhluk-makhluk ajaib, antaranya orang Negrito yang 'dianugerahi' dengan sifat-sifat ajaib dan dikaitkan dengan pelbagai legenda dan dongengan. Di kalangan raja-raja Melayu zaman dahulu, menyimpan orang Negrito dalam halaman sebagai himpunan makhluk hutan yang aneh-aneh merupakan tanda martabat.[39][40]

Pada awal abad ke-20, Raja Chulalongkorn (Rama V) dari Thailand mengunjungi kawasan selatan negara dan bertemu dengan orang Semang. Pada 1906, seorang anak piatu lelaki Semang Khanung dibawa ke istana di mana dia dilayan sebagai anak angkat raja.[41] Peristiwa ini memulakan naungan kerabat diraja ke atas kaum Semang.

Kerajaan penjajah British mengharamkan amalan pengabdian pada akhir abad ke-19 dan memperkenalkan dasar pembelaan bagi Orang Asli. British menganggap Orang Asli sebagai noble savage yang menjalani kehidupan yang ideal dan diidam-idamkan, dan oleh itu memerlukan perlindungan daripada kesan mudarat kehidupan moden.[40]

Orang Asli kembali mencuri perhatian sewaktu Darurat di Malaysia pada 1950-an.[42] Untuk memujuk Orang Asli untuk berpihak dengan kerajaan dalam usaha menentang komunis, ditubuhkannya jabatan khusus baharu iaitu Jabatan Hal-Ehwal Orang Asli (JHEOA) dengan tujuan membekalkan pendidikan, kemudahan kesihatan, dan pembangunan ekonomi kepada Orang Asli, disusuli kawalan menyeluruh ke atas seluruh masyarakat pribumi.[42] Kerajaan Thailand juga melakukan tindakan seumpama untuk meneutralkan puak Negrito mereka sebagai reaksi terhadap kemasukan komunis ke dalam wilayah mereka.

Pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu pada 1957 serta penamatan Darurat pada 1961 tidak banyak mengubah dasar negara terhadap Orang Asli. Pada 1970-an, JHEOA mula mengaturkan penempatan baharu untuk sesetengah kelompok Semang yang berpindah-randah.[43] Menjelang 1980, usaha penggantian kawasan hutan dengan dusun secara berleluasa telah banyak menjejaskan kehidupan ramai puak Semang.[43]

Kebanyakan suku Kintaq, Jahai, Bateq dan Lanoh kini tinggal di perkampungan yang dibina negara, dikelilingi oleh hutan sekunder dan dusun-dusun, dan juga kampung-kampung petempatan bukan Orang Asli. Mereka terpaksa meninggalkan kehidupan lama dan sedikit sebanyak menyesuaikan diri dengan pertanian kecil-kecilan.[44]

Pada tahun 1966 (atau 1973),[45] sebuah kampung Semang ditubuhkan di Thailand untuk memperbaiki kualiti hidup mereka, dilengkapi dengan dusun getah. Pada awal 1990-an, kampung tersebut dijadikan pusat tumpuan pelancong untuk mempamerkan gaya hidup tradisional Semang.

Remove ads

Budaya

Cara hidup tradisional

Secara tradisi, masyarakat Semang menjalani kehidupan pemburu-pengumpul yang berpindah-randah dalam kawasan hutan.[46] Setiap puak menduduki satu kawasan adat tertentu yang menjadi tempat sara hidup mereka. Dalam kawasan inilah mereka berpindah dari tempat ke setempat untuk mencari bekalan makanan baharu. Orang Semang bukan pemburu-pengumpul secara literal kerana mereka sentiasa berubah cara hidup sesuai dengan keadaan semasa. Sebaik sahaja satu punca makanan habis ditebus, mereka beralih ke satu lagi.[47]

Cara hidup ini terpelihara selama ribuan tahun disebabkan ciri-ciri khusus dalam struktur sosial masyarakat mereka. Setiap satu keluarga dalam masyarakat Semang menyara diri secara berdikari sepenuhnya;[48] mereka akan berkumpul beramai-ramai di perkhemahan sementara, kemudian berpecah mengikut hala tuju masing-masing, dan kemudian berkumpul dengan keluarga lain di perkhemahan baharu. Begitu ketaranya amalan eksogami (perkahwinan luar puak sahaja) sehingga terjadinya pertalian antara keluarga berskala besar.[44] Struktur sosial begini memang padan dengan cara hidup nomad dan tidak serasi sama sekali untuk golongan penetap, malah ia menjadi perintang yang membahagikan populasi yang hidup bersama selama ribuan tahun.

Kawasan adat Semang dianggap bebas digunakan oleh semua ahli kaum setempat. Orang Semang Barat mempertahankan hak mereka untuk memiliki pokok-pokok beracun dan pokok-pokok berbuah malar yang ditanam atau ditemui dalam hutan, sedangkan kelompok lain menganggap pokok-pokok tersebut bebas digunakan semua ahli.[49] Tuntutan hak eksklusif ke atas kawasan tertentu dalam sebarang pertikaian dengan kelompok Semang yang lain mahupun kaum-kaum lain selalunya tidak dikemukakan kepada pihak berkuasa, dan oleh itu tidak sah sama sekali. Kerajaan Malaysian tidak sama sekali mengiktiraf hak Semang ke atas tanah atau sumber adat.[49]

Biarpun dianggap umum sebagai penduduk tengah hutan, orang Semang sebenarnya mendiami zon peralihan antara hutan tropika dan daerah pertanian kerana bekalan makanan di sini sangat banyak dan berbagai-bagai. Di sini juga mereka boleh mengumpul kayu-kayan berharga dan berdagang dengan masyarakat jiran. Di tengah hutan pula, mereka hanya boleh memburu haiwan kecil yang hidup di kalangan pokok kerana sumber makanan tumbuhan yang berharga amat terhad.[50]

Jabatan Kemajuan Orang Asli berusaha menggalakkan masyarakat semang untuk bercucuk tanam di kampung-kampung negeri. Di kawasan hutan yang ditebang, pihak negeri menganjurkan penanaman getah, durian, rambutan, kelapa sawit, dan pisang. Masyarakat Semang dipaksa menyesuaikan diri dengan keadaan baharu, tetapi aktiviti pertanian memerlukan masa yang lama untuk menghasilkan buah, dan itu bercanggah dengan pandangan duia mereka. Dari waktu ke waktu, sesetengah kelompok Semang menghantar ahli mereka untuk memungut hasil hutan untuk dijual, mencari kerja sambilan dengan petani Melayu, memancing ikan, atau sekadar mengemis atau meminta sedekah dari pelawat.[51]

Oleh yang demikian, JAKOA membekalkan bekalan runcit kepada mereka supaya mereka tidak meninggalkan kerja, tetapi jika berlakunya tunggakan bekalan, orang Semang berhenti bercucuk tanam serta-merta dan ada di kalangan mereka juga yang kembali hidup di hutan. Aktiviti memungut hasil hutan untuk dijual masih diutamakan berbanding kerja upah dan pertanian tetap.[52]

Kepercayaan

Thumb
Kumpulan Semang di Siong, Daerah Baling, Kedah, 1906.

Masyarakat Semang pada asalnya mengamalkan animisme,[53] iaitu kepercayaan bahawa bukan sahaja manusia, bahkan juga segala benda semula jadi mempunyai roh.[54]

Masyarakat Semang membayangkan bahawa bumi mereka berbentuk cakera yang terletak di atas belikat ular atau kura-kura yang terapung di bawah tanah. Bumi dihubungkan dengan langit dengan tonggak batu, dunia dipenuhi entiti-entiti ghaib yang daim dalam bentuk semangat-semangat yang hidup di langit, di dalam tonggak batu, mahupun di bawah tanah. Latar langit merupakan syurga yang dipenuhi bunga-bungaan dan pokok buah-buahan. Hutan hujan dicipta oleh entiti-entiti ghaib untuk memenuhi keperluan penduduk bumi. Sesetengah entiti ghaib ini pernah hidup di atas bumi sebagai manusia biasa dan kembali dari masa ke semasa dengan menjelma dalam mimpi orang.[55]

Kebanyakan entiti ghaib ini tiada nama dan sering dikaitkan dengan fenomena alam atau benda-benda tertentu seperti angin mahupun pokok berbuah. Ada entiti ghaib yang mempunyai nama dan sifat-sifat khusus. Kebanyakan orang Semang takut dengan tiga kejadian alam, iaitu petir, banjir, dan ribut,[56] kerana ia melambangkan dewa petir Karey yang dianggap kejam dan durjana. Menurut kepercayaan asal, Karey menjalankan peranan moral penting dengan menghukum pencabul pantang larang, malah menyebabkan kematian dengan panahan petir atau serangan haiwan liar.[57]

Setiap puak mempunyai bomoh yang dipanggil hala, yang bertindak sebagai penghubung antara alam nyata dan alam ghaib. Hala mengadakan ritual, mengamalkan ilmu sihir, meramal masa depan, merawat penyakit, dan mencari tempat penempatan yang selamat. Mereka merawat penyakit dengan menggunakan pelbagai herba dan jampi. Orang Semang bahawa hala bersawai menghubungi entiti ghaib untuk menyampaikan kesyukuran serta mempelajari ilmu merawat penyakit tenat.[58]

Lelaki mahupun wanita boleh menjadi hala. Hala juga terdiri daripada yang besar dan yang kecil. Hala kecil adalah manusia biasa yang tahu serba sedikit cara merawat penyakit menerusi lagu-lagu, urut-mengurut, ubat-ubatan herba dan jampi serapah, dan ada kalanya bersawai. Hala besar pula adalah mereka yang mempunyai keupayaan luar biasa, bukan sahaja menghubungi semangat melalui mimpi atau sawai, bahkan mereka sendiri juga makhluk ghaib, misalnya boleh menjelma sebagai harimau dan menghalau haiwan buas. Hala besar mahupun kecil memperoleh ilmu daripada roh-roh melalui mimpi atau dari hala lain. Cara yang terbaik ialah menunggu di tepi pusara hala yang sudah meninggal sehingga rohnya menjelma dalam rupa harimau, dan kemudian ia akan berpaling kepada diri dan menurunkan ilmu.

Upacara khas diadakan sempena peristiwa penting dalam kehidupan seperti kelahiran, kesakitan, kematian, bahkan juga peralihan ekonomi.[59] Apabila ritual diadakan, simbol-simbol animisme digunakan.

Kerajaan Malaysia sedang mengusahakan dasar menukarkan Orang Asli ke agama Islam. Terdapat secukup bilangan Semang yang dikira Muslim pada akhir abad ke-20. Statistiknya seperti berikut:[30]

Maklumat lanjut Кensiu, Кintaq ...

Upacara

Fail:Bateq (3730924243).jpg
Lelaki Bateq dengan lengan berlelas-lelas.

Masyarakat Semang mengamalkan ritual pelelasan,[60] yang mana anak-anak muda dilelas (dikupas kulit) untuk menandakan akhir usia kanak-kanak.[61] Pelelasan dilakukan dengan menggores kulit dengan daun tebu yang bergerigi halus, kemudian menyapu serbuk arang ke atas cakaran.[62]

Alat muzik tradisional Semang diperbuat daripada buluh, antaranya termasuk genggong dan seruling hidung.[63] Sewaktu perayaan, lelaki mahupun wanita menari-nari sambil menyanyi dengan berpakaian daun-daunan.[64][65]

Orang Semang yang meninggal dunia dikebumikan pada hari yang sama; mayatnya berkafankan tikar sementara harta kepunyaan si mati disimpan dalam para-para buluh kecil yang terletak di atas pusara.[66] Orang-orang besar seperti penghulu atau bomoh pula dikebumikan di bawah pokok.[67]

Masyarakat Semang menilik dengan asap untuk menentukan sama ada perkhemahan mereka selamat untuk bermalam.[68]

Remove ads

Catatan

Bacaan lanjut

Pautan luar

Loading related searches...

Wikiwand - on

Seamless Wikipedia browsing. On steroids.

Remove ads