Sejarah Johor Moden
From Wikipedia, the free encyclopedia
Remove ads
Sejarah Johor Moden atau Zaman Johor Moden atau Era Johor Moden atau Negeri Johor Moden merupakan satu zaman di mana negeri Johor tidak lagi berada di bawah pemerintahan Kesultanan Johor Lama yang pada ketika itu telah menjadi Kesultanan Riau-Lingga selepas termeterainya Perjanjian 29 Oktober 1830 yang menguatkuasakan Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 di Alam Melayu.
Sejarah Johor Moden boleh dibahagikan kepada tiga kerajaan iaitu:
- Kerajaan Temenggung Johor (1855–1868);
- Kerajaan Maharaja Johor (1868–1886); dan
- Kesultanan Johor Moden (1886–kini)
Ketiga-tiga kerajaan di atas dipimpin oleh Wangsa Temenggung Johor. Temenggung Johor merupakan salah seorang pembesar tertinggi Kesultanan Johor Lama dan beliau dikurniakan negeri Johor dan Singapura serta pulau-pulau di sekitarnya sebagai kawasan pemakanannya (kawasan pembesar mengutip cukai). Selepas tahun 1830, Temenggung Johor berkuasa penuh ke atas Johor dan beliau mengukuhkan lagi kedudukannya hingga waris dan keturunannya menjadi Sultan Johor pada hari ini.
Remove ads
Kerajaan Temenggung Johor (1855–1868)
Kerajaan Temenggung Johor atau Ketemenggungan Johor ialah kerajaan negeri Johor yang diterajui oleh Temenggung Johor dari tahun 1855 hingga tahun 1868. Kerajaan ini bermula apabila Sultan Ali Iskandar Shah menyerahkan negeri dan kerajaan Johor kepada Temenggung Johor, Temenggung Tun Daeng Ibrahim melalui Perjanjian Setia 1855. Dengan termeterainya Perjanjian Setia 1855, Temenggung Tun Daeng Ibrahim memiliki kedaulatan dan kerajaan negeri Johor lalu mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai Pemerintah Johor.
Kerajaan Temenggung Johor berakhir apabila anakanda Temenggung Tun Daeng Ibrahim iaitu Temenggung Tun Abu Bakar mengadakan satu istiadat di mana beliau ditabalkan sebagai Maharaja Johor dengan gelaran Maharaja Abu Bakar oleh Raja Ali Haji, seorang ahli sejarah Bugis dan penasihat Yang Dipertuan Muda Riau, pada tahun 1868 dan British di Singapura mengiktiraf penggunaan gelaran tersebut oleh Maharaja Abu Bakar pada tahun yang sama.
Kesultanan Johor Lama berakhir
Pada tahun 1825, pegawai Belanda yang bernama Van Angelbeek memaklumkan Yang Dipertuan Muda Riau, Raja Jaafar mengenai Perjanjian Inggeris-Belanda 1824.[1] Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar tidak ada pilihan lain selain terpaksa bersetuju dengan kehendak Belanda lalu satu perjanjian antara beliau dengan Belanda telah ditandatangani pada 29 Oktober 1830.[2]
Antara syarat penting isi kandungan Perjanjian 29 Oktober 1830 ialah:[3]
- Johor dan Pahang tidak lagi berada di bawah kekuasaan Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah yang kini menjadi Sultan Riau-Lingga. (Fasal Ketiga)
- Perubahan status hubungan Kesultanan Riau-Lingga dengan Belanda di mana sebelum ini Kesultanan Johor Lama adalah sahabat Belanda menurut Perjanjian 26 November 1818 tetapi kini Kesultanan Riau-Lingga diletakkan di bawah naungan Belanda. (Fasal Keenam)
- Kedudukan Yang Dipertuan Muda Riau dikukuhkan lagi dengan status barunya sebagai pentadbir utama Riau. (Fasal Kesepuluh)
- Keturunan Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar diutamakan dalam pelantikan Yang Dipertuan Muda Riau pada masa akan datang. (Fasal Keempat)
Dengan termeterainya Perjanjian 29 Oktober 1830, maka Kesultanan Johor Lama telah bersetuju untuk menerima Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 bagi tujuan penguatkuasaannya di Alam Melayu.[4] Ini mengakibatkan negeri Johor dan negeri Pahang tidak lagi berada di bawah kekuasaan Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah dan Kesultanan Johor Lama telah melepaskan hak kedaulatannya ke atas dua wilayah tersebut.[5] Secara tidak langsung, Perjanjian 29 Oktober 1830 telah membubarkan Kesultanan Johor Lama yang telah memerintah selama 300 tahun dan mewujudkan Kesultanan Riau-Lingga sebagai penerus dan pengganti Kesultanan Johor Lama tetapi berada di bawah naungan Belanda.[6]
Pengenalan Sistem Kangcu dan Surat Sungai
Pada tahun 1820-an, ramai orang Cina Singapura berpindah ke Johor untuk menjalankan aktiviti penanaman gambir dan lada hitam atas galakan Temenggung Tun Abdul Rahman dan anakandanya, Temenggung Tun Daeng Ibrahim.[7] Pada tahun 1840-an, Temenggung Tun Daeng Ibrahim telah menubuhkan satu birokrasi yang terdiri daripada pegawai-pegawai Melayu untuk memantau urusan hal-ehwal melibatkan ketua-ketua orang Cina Singapura yang berpindah ke Johor. Ketua-ketua orang Cina tersebut dikenali sebagai Kangcu.[8] Kangcu ialah perkataan bahasa Cina yang bermaksud "Tuan Sungai".
Temenggung Tun Daeng Ibrahim mula mengeluarkan permit rasmi yang dikenali sebagai "Surat Sungai" kepada Kangcu untuk membenarkan mereka mengusahakan ladang-ladang gambir dan lada hitam di sepanjang tebing sungai. Sebagai balasan, Kangcu dikehendaki membayar cukai hasil keuntungan yang diperoleh daripada ladang-ladang gambir dan lada hitam serta memperbaharui Surat Sungai selepas tempoh masa tertentu.[9] Kawasan perladangan gambir dan lada hitam tersebut dikenali sebagai "kangkar" iaitu perkataan bahasa Cina yang bermaksud "kaki sungai". Setiap kangkar diketuai oleh seorang Kangcu yang mentadbir dan memungut cukai untuk kerajaan Johor.
Perjanjian Setia 1855
Pada 10 Mac 1855, satu istiadat menandatangani perjanjian diadakan di Singapura dan disaksikan oleh Gabenor Negeri-Negeri Selat, William John Butterworth bersama-sama pegawai-pegawai tinggi Inggeris, diplomat-diplomat asing serta orang-orang kenamaan di Singapura dan Johor.[10] Dalam istiadat tersebut, Temenggung Tun Daeng Ibrahim dan anakanda Sultan Hussein Muhammad Shah iaitu Tengku Ali telah menandatangani Perjanjian Setia 1855 di mana Tengku Ali menyerahkan sepenuhnya kerajaan dan negeri Johor (kecuali daerah Kesang) kepada Temenggung Tun Daeng Ibrahim dan waris-warisnya untuk selama-lamanya. Sebagai balasan, Tengku Ali diangkat menjadi Sultan Johor dengan gelaran Sultan Ali Iskandar Shah dan baginda menerima elaun bulanan daripada Temenggung Tun Daeng Ibrahim.[11]
Sistem pemerintahan
Selepas termeterainya Perjanjian Setia 1855, Temenggung Tun Daeng Ibrahim telah menubuhkan tiga pejabat di kediamannya iaitu Istana Bukit Aur untuk menguruskan pemerintahan Johor dari kediamannya yang terletak di Teluk Belanga, Singapura.[12]
Tiga pejabat tersebut ialah:
- Pejabat Temenggung untuk Temenggung Tun Daeng Ibrahim
- Pejabat Waris untuk anakanda Temenggung Tun Daeng Ibrahim iaitu Tun Abu Bakar (kemudian Sultan Abu Bakar)
- Pejabat Menteri (mempunyai peranan dan tanggungjawab yang sama seperti Menteri Besar Johor)[13]
Abdullah bin Tok Muhammad Tahir (atau dikenali sebagai Encik Long Menteri) yang berketurunan Bendahara Johor dan Bendahara Melaka telah dilantik menjadi Menteri kepada Temenggung Tun Daeng Ibrahim dan beliau mengetuai Pejabat Menteri.[14] Selepas Abdullah @ Encik Long Menteri meninggal dunia pada tahun 1862, dipercayai bahawa anak saudaranya, Dato' Jaafar bin Haji Muhammad memangku jawatan Menteri tersebut.[15][16]
Johor Bahru sebagai pusat pemerintahan Johor yang baru
Walaupun Temenggung Tun Daeng Ibrahim merupakan Pemerintah Johor, beliau masih menetap di Teluk Belanga, Singapura dan menguruskan pemerintahan Johor di sana. Namun, beliau mengalami masalah dalam berhubungan dengan British di Singapura kerana undang-undang Singapura tidak sama seperti undang-undang Johor yang berlandaskan adat-istiadat Melayu dan syariat Islam. Percanggahan kedua-dua undang-undang tersebut melemahkan pemerintahan Temenggung Tun Daeng Ibrahim dan memberikan peluang kepada British untuk mencampuri urusan pemerintahan Johor.[17]
Oleh sebab itu, pada tahun 1855, Temenggung Tun Daeng Ibrahim memilih tempat yang bertentangan dengan Singapura iaitu Tanjung Puteri di Johor untuk dijadikan sebagai pusat pemerintahan Johor yang baru dan bebas daripada pengaruh undang-undang Singapura. Beliau membina sebuah petempatan dan menamakannya sebagai Iskandar Puteri. Nama Iskandar Puteri tersebut merupakan hasil gabungan nama penuh Temenggung Tun Daeng Ibrahim iaitu Tun Ibrahim Iskandar dan nama Tanjung Puteri iaitu tempat Temenggung Tun Daeng Ibrahim mendarat untuk mencari kawasan pentadbiran.[18] Pada tahun 1860, Temenggung Tun Daeng Ibrahim menukar nama Iskandar Puteri kepada nama Tanjung Puteri. Pada 1 Januari 1866, anakandanya iaitu Temenggung Tun Abu Bakar mengadakan istiadat perasmian bandar Tanjung Puteri dan beliau menukar nama bandar tersebut kepada Johor Bahru dan mengisytiharkannya sebagai ibu negeri Johor.[19][20]
Perjanjian Pahang-Johor 1861
Untuk mendapatkan pengiktirafan sebagai Pemerintah Johor yang sah di sisi adat-istiadat Melayu, Temenggung Tun Daeng Ibrahim memujuk Raja Bendahara Pahang, Bendahara Tun Mutahir supaya mengiktiraf kedudukan terkininya berdasarkan Perjanjian Setia 1855. Hal ini demikian kerana Bendahara ialah penaung kepada adat raja-raja Melayu.[21] Pada bulan Disember 1861, Temenggung Tun Daeng Ibrahim mewakili kerajaan Johor dan Bendahara Tun Mutahir mewakili kerajaan Pahang telah menandatangani Perjanjian Pahang-Johor 1861 di mana Bendahara Tun Mutahir telah mengiktiraf Temenggung Tun Daeng Ibrahim sebagai Pemerintah Johor yang sah dan keturunan Temenggung Tun Daeng Ibrahim berhak untuk memerintah Johor buat selama-lamanya. Dalam perjanjian yang sama, Temenggung Tun Daeng Ibrahim dan Bendahara Tun Mutahir bersepakat untuk membantu antara satu sama lain jika negeri mereka diserang musuh dan jika timbul sebarang masalah antara mereka, mereka akan menyerahkan masalah mereka kepada British di Singapura sebagai orang tengah untuk menyelesaikan masalah mereka.[22]
Remove ads
Kerajaan Maharaja Johor (1868–1886)
Kerajaan Maharaja Johor atau Kemaharajaan Johor ialah kerajaan negeri Johor yang diterajui oleh Maharaja Johor dari tahun 1868 hingga tahun 1886. Kerajaan ini bermula apabila Temenggung Tun Abu Bakar mengadakan satu istiadat di mana beliau ditabalkan sebagai Maharaja Johor dengan gelaran Maharaja Abu Bakar oleh Raja Ali Haji, seorang ahli sejarah Bugis dan penasihat Yang Dipertuan Muda Riau, pada tahun 1868. Pada tahun yang sama, British di Singapura mengiktiraf penggunaan gelaran tersebut oleh Maharaja Abu Bakar.
Kerajaan Maharaja Johor berakhir apabila Maharaja Abu Bakar diiktiraf secara rasmi sebagai Sultan Johor dengan gelaran Sultan Abu Bakar oleh British di London, United Kingdom melalui Perjanjian Inggeris-Johor 1885 dan Menteri Besar Johor pertama, Dato' Jaafar bin Haji Muhammad mengisytiharkan penggunaan gelaran tersebut oleh Sultan Abu Bakar ke seluruh negeri Johor pada tahun 1886.
Rombongan ke Riau
Ketika Temenggung Tun Abu Bakar melawat negara India dan Eropah pada tahun 1866, baginda menyedari bahawa gelaran Temenggung tidak terkenal di dunia Eropah berbanding gelaran Maharaja yang digunakan oleh raja-raja di India. Ini menyebabkan Temenggung Tun Abu Bakar ingin menggunakan gelaran baru yang lebih dikenali.[23] Pada 18 April 1868, Temenggung Tun Abu Bakar menghantar satu rombongan yang diketuai oleh sepupunya, Ungku Haji Muhammad ibni Tun Haji Abdullah ke Riau untuk berjumpa dengan Raja Ali Haji yang merupakan seorang sejarawan Bugis dan penasihat Yang Dipertuan Muda Riau.[24][25]
Dalam pertemuan mereka, antara perkara yang dibincangkan ialah kelayakan Temenggung Tun Abu Bakar untuk menjadi Pemerintah Johor yang sah dan berdaulat.[26] Raja Ali Haji bersetuju dengan permintaan Temenggung Tun Abu Bakar untuk menukar gelarannya selepas beliau mengkaji salasilah Temenggung Tun Abu Bakar dan berpuas hati bahawa keluarga Temenggung Johor mempunyai kuasa sebenar ke atas urusan pemerintahan Johor dan Temenggung Tun Abu Bakar berketurunan Sultan Johor ke-10, Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV.[27] Tetapi Raja Ali Haji berkata bahawa gelaran baru yang akan digunakan oleh Temenggung Tun Abu Bakar itu bukanlah gelaran Sultan atau Yang Dipertuan Johor atau Yang Dipertuan Muda.[28]
Pengisytiharan penggunaan gelaran Maharaja
Pada 7 Mei 1868, Raja Ali Haji mengetuai satu rombongan ke Teluk Belanga, Singapura untuk menabalkan Temenggung Tun Abu Bakar sebagai Maharaja Johor dengan gelaran Maharaja Abu Bakar.[29][30] Pada 30 Jun 1868, Maharaja Abu Bakar memperoleh persetujuan daripada British di Singapura berkenaan permintaannya untuk menggunakan gelaran Maharaja.[31][32]
Kesang kembali menjadi sebahagian daripada Johor
Selepas kemangkatan Sultan Ali Iskandar Shah, pada 29 Jun 1877, British di Singapura meminta Maharaja Abu Bakar untuk menjadi pemerintah sementara daerah Kesang dan permintaan tersebut dipersetujui oleh Maharaja Abu Bakar.[33] Namun, keputusan ini dibantah oleh anakanda sulung Sultan Ali Iskandar Shah iaitu Tengku Alam kerana bertentangan dengan Perjanjian Setia 1855 di mana daerah Kesang merupakan hak milik Sultan Ali Iskandar Shah dan waris-warisnya untuk selama-lamanya.[34] Untuk menyelesaikan masalah ini, satu pemilihan diadakan pada 7 November 1877 untuk memilih Pemerintah Kesang yang baru. Dalam pemilihan tersebut, Raja Temenggung Muar dan penghulu-penghulu di Kesang bersetuju untuk memilih Maharaja Abu Bakar sebagai Pemerintah Kesang.[35] Pada 5 Februari 1879, Maharaja Abu Bakar diisytiharkan sebagai Pemerintah Kesang dalam satu istiadat yang diadakan di Johor Bahru dan tidak lama selepas itu daerah Kesang menjadi sebahagian daripada negeri Johor.[36]
Namun, keputusan pemilihan dan pengisytiharan tersebut menimbulkan kemarahan Tengku Alam lalu tercetusnya Perang Saudara Jementah 1879 yang berakhir dengan kemenangan Maharaja Abu Bakar. Tengku Alam kemudian diampunkan dan diberikan elaun bulanan oleh Maharaja Abu Bakar dengan syarat baginda perlu sentiasa berkelakuan baik dan tidak menimbulkan kekacauan. Akhirnya, Tengku Alam tinggal di Istana Kampong Gelam, Singapura hingga akhir hayatnya. Kini, kerajaan Republik Singapura menjadikan Istana Kampong Gelam sebagai pusat kebudayaan dan muzium yang bernama Taman Warisan Melayu untuk mempamerkan warisan dan sejarah orang Melayu Singapura.
Remove ads
Kesultanan Johor Moden (1886–kini)
Kesultanan Johor Moden ialah kerajaan negeri Johor yang diterajui oleh Sultan Johor daripada Wangsa Temenggung Johor dari tahun 1886 hingga kini. Kerajaan ini bermula apabila Maharaja Abu Bakar diiktiraf secara rasmi sebagai Sultan Johor dengan gelaran Sultan Abu Bakar oleh British di London, United Kingdom melalui Perjanjian Inggeris-Johor 1885. Pada tahun 1886, Menteri Besar Johor pertama, Dato' Jaafar bin Haji Muhammad mengisytiharkan penggunaan gelaran tersebut oleh Sultan Abu Bakar ke seluruh negeri Johor.
Perjanjian Inggeris-Johor 1885
Pada tahun 1885, setelah mendengar khabar angin bahawa British di Singapura ingin meletakkan seorang Residen British di Johor, Maharaja Abu Bakar membuat keputusan untuk berangkat ke England.[37] Pada 11 Disember 1885, Perjanjian Inggeris-Johor 1885 antara Maharaja Johor, Maharaja Abu Bakar mewakili kerajaan Johor dan Setiausaha Tanah Jajahan British, Sir Frederick Arthur Stanley mewakili kerajaan British ditandatangani di Pejabat Tanah Jajahan British di London.[38] Dalam perjanjian ini, British mengiktiraf Maharaja Abu Bakar sebagai Sultan Johor yang bergelar Sultan Abu Bakar.[39]
Pengisytiharan penggunaan gelaran Sultan
Pada 13 Februari 1886, Menteri Besar Johor, Dato' Jaafar bin Haji Muhammad telah mengisytiharkan penggunaan gelaran Sultan oleh Sultan Abu Bakar ke seluruh negeri Johor.[40] Pada 14 April 1895, Sultan Abu Bakar telah mengadakan istiadat menandatangani dan mengisytiharkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor di Johor Bahru, Johor.[41] Johor telah menjadi negeri Melayu pertama yang mempunyai Undang-Undang Tubuh Kerajaan dan mengamalkan sistem raja berperlembagaan. Sultan Abu Bakar telah melakukan banyak pembaharuan dan pemodenan dalam sistem pentadbiran negeri Johor untuk memajukan Johor dan mengelakkan campur tangan British dalam hal-ehwal pentadbiran Johor.
Usaha British untuk menggugat kemerdekaan Johor
Di bawah pemerintahan Sultan Ibrahim Al-Masyhur, British berusaha untuk campur tangan dalam urusan pentadbiran Johor. Sultan Ibrahim banyak bergantung kepada Setiausaha Kerajaan Johor, Dato' Abdul Rahman Andak untuk menguruskan pentadbiran Johor hingga menyebabkan kemarahan British kerana Dato' Abdul Rahman menggagalkan rancangan British untuk menjejaskan kemerdekaan Johor.[42] Namun, kemerdekaan Johor tidak bertahan lama apabila Sultan Ibrahim menamatkan perkhidmatan Dato' Abdul Rahman dalam kerajaan Johor pada tahun 1907 atas desakan British.[43]
Pada tahun 1910, Sultan Ibrahim menerima Douglas Graham Campbell sebagai Penasihat Am British pertama di Johor.[44] Pada mulanya, Penasihat Am British hanya bertindak sebagai penasihat Sultan Ibrahim dan memantau urusan pentadbiran Johor.[45] Tetapi apabila baginda mula tidak mahu mendengar nasihat Penasihat Am British dan terdapat banyak masalah dalam hal-ehwal pentadbiran Johor,[46] Gabenor Negeri-Negeri Selat, Sir Arthur Henderson Young, dengan kebenaran Pejabat Tanah Jajahan British di London, meminta baginda untuk menandatangani perjanjian yang akan meletakkan Penasihat Am British di Johor yang mempunyai kuasa seperti Residen British di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.[47] Untuk "memelihara kebesaran dan kemasyhuran Sultan Johor", Sultan Ibrahim meminta Gabenor Young supaya meminda Fasal III, mengenai penempatan seorang pegawai British yang berkhidmat sebagai Konsul di Johor, dalam Perjanjian Inggeris-Johor 1885 untuk membolehkan British menempatkan Penasihat Am British di Johor yang "mempunyai tugas-tugas dan kuasa-kuasa yang lebih luas".[48] Baginda juga meminta jaminan British bahawa perselisihan yang berlaku antara baginda dengan Penasihat Am British hendaklah dirujuk kepada Gabenor Negeri-Negeri Selat di Singapura, pegawai-pegawai Eropah yang berkhidmat dalam kerajaan Johor hendaklah dianggap sebagai pegawai-pegawai kerajaan Johor dan mereka (kecuali Penasihat Am British) diwajibkan memakai pakaian rasmi pegawai kerajaan Johor, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris hendaklah diterima sebagai bahasa rasmi di Johor, dan orang-orang Melayu Johor yang berkelayakan hendaklah diutamakan dalam mengisi kekosongan jawatan dalam kerajaan Johor dan kedudukan mereka hendaklah dianggap sama taraf dengan pegawai-pegawai Eropah di Johor.[49]
Perjanjian Inggeris-Johor 1914
Pada 12 Mei 1914, satu perjanjian antara Sultan Johor, Sultan Ibrahim mewakili kerajaan Johor dan Gabenor Negeri-Negeri Selat, Sir Arthur Henderson Young mewakili kerajaan British ditandatangani di mana Penasihat Am British yang ditempatkan di Johor mempunyai kuasa seperti Residen British di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.[50] Perjanjian ini telah menjadikan Johor sebagai negeri Melayu terakhir yang menerima Penasihat British lalu meletakkan Johor di bawah naungan British dan Johor menjadi salah satu Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu. Walaupun begitu, untuk "memelihara taraf kebesaran Sultan Johor", British membenarkan Sultan Ibrahim untuk mengalamatkan surat-surat rasmi baginda kepada Gabenor Negeri-Negeri Selat di Singapura, bukan kepada Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu seperti surat-surat rasmi raja-raja Melayu di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan bendera Union Jack tidak dikibarkan di pejabat dan kediaman rasmi Penasihat Am British di Johor.[51]
Perang Dunia Kedua
Sejak tahun 1910-an, para peladang Jepun telah terlibat dalam ladang-ladang dan lombong-lombong sumber mineral di Johor hasil daripada Pakatan British-Jepun.[52][53][54] Selepas Perang Dunia Pertama, penanaman getah di Tanah Melayu hampir dikuasai oleh syarikat-syarikat Jepun. Berikutan pemansuhan Rubber Lands Restrictions (Enactment) pada tahun 1919, Gomu Nanyo Company (South Seas Rubber Co. Ltd.) mula mengusahakan penanaman getah di kawasan pedalaman Johor.[55] Menjelang tahun 1920-an, Sultan Ibrahim telah menjadi sahabat peribadi Tokugawa Yoshichika, seorang ahli suku Tokugawa yang leluhurnya merupakan pemimpin tentera (shōgun dalam bahasa Jepun) yang memerintah Jepun dari abad ke-16 hingga abad ke-19.[53]
Dalam Perang Dunia Kedua, dengan pengorbanan besar nyawa dalam Pertempuran Muar di Johor sebagai sebahagian daripada Kempen Malaya,[56] Tentera Darat Imperial Jepun (Imperial Japanese Army, IJA) dengan infantri berbasikal dan kereta kebal mereka mara ke Daerah Muar (kini Daerah Tangkak) pada 14 Januari 1942.[57] Semasa ketibaan tentera Jepun, Tokugawa mengiringi pasukan Jeneral Tomoyuki Yamashita dan disambut mesra oleh Sultan Ibrahim apabila mereka tiba di Johor Bahru pada akhir bulan Januari 1942.[57] Yamashita dan pegawai-pegawainya menempatkan diri di kediaman Sultan Ibrahim, iaitu Istana Bukit Serene, dan di bangunan urus setia negeri, Bangunan Sultan Ibrahim, untuk merancang serangan ke atas Singapura.[58] Sebilangan pegawai Jepun bimbang kerana kedudukan istana tersebut mendedahkan mereka kepada serangan British, tetapi Yamashita yakin bahawa British tidak akan menyerang memandangkan Sultan Ibrahim juga bersahabat dengan pihak British, dan perkara ini terbukti benar.[53][58]
Pada 8 Februari 1942, Jepun mula mengebom pesisir barat laut Singapura, diikuti dengan penyeberangan Divisyen ke-5 dan ke-18 IJA dengan sekitar 13,000 tentera melalui Selat Johor.[59] Keesokan harinya, Divisyen Pengawal Empayar Jepun menyeberangi Kranji manakala baki pasukan Pengawal Jepun menyeberangi Tambak Johor yang telah dibaik pulih.[59] Selepas seluruh Tanah Melayu dan Singapura diduduki oleh Jepun, Tokugawa mencadangkan satu rancangan reformasi di mana lima kerajaan Johor, Terengganu, Kelantan, Kedah-Pulau Pinang dan Perlis akan ditubuhkan semula dan digabungkan dalam satu persekutuan.[54] Mengikut rancangan tersebut, Johor akan menguasai Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka, manakala kawasan seluas 2,100 kilometer persegi (800 batu persegi) di bahagian selatan Johor akan digabungkan dengan Singapura untuk tujuan pertahanan.[54] Lima raja kerajaan tersebut diwajibkan menumpahkan taat setia mereka kepada Jepun, perlu melawat keluarga diraja Jepun setiap dua tahun, dan menjamin kebebasan beragama, beribadat, bekerja dan memiliki harta persendirian untuk semua rakyat, dan memberikan layanan setara terhadap setiap orang Jepun yang menetap di kerajaan tersebut sebagaimana layanan terhadap penduduk asal.[54]
Sementara itu, Ōtani Kōzui daripada sub-mazhab Nishi Hongan-ji dalam ajaran Buddha Jōdo Shinshū mencadangkan agar sistem kesultanan dihapuskan dan Jepun memerintah kerajaan-kerajaan Melayu di bawah kerajaan raja berperlembagaan Jepun.[54] Namun begitu, Menteri Perang Jepun Hideki Tōjō telah mengingatkan kakitangan kerajaan mereka di Tanah Melayu supaya tidak berlagak lebih tinggi daripada Sultan serta menghormati mereka agar mereka bekerjasama dengan gunsei (organisasi ketenteraan Jepun).[54] Pada bulan Mei 1942, ramai pegawai kanan Jepun kembali ke Tokyo untuk berbincang dengan pegawai-pegawai Kementerian Perang dan Kakitangan Am Jepun mengenai cara berurusan dengan Sultan.[54] Sekembalinya mereka ke Singapura pada bulan Julai 1942, mereka menerbitkan sebuah dokumen bertajuk “A Policy for the Treatment of the Sultan” (Dasar Layanan terhadap Sultan), iaitu tuntutan agar Sultan menyerahkan kuasa mereka terhadap rakyat dan negeri kepada Maharaja Jepun melalui komander IJA. Organisasi ketenteraan itu menuntut Sultan menyerahkan kuasa mereka dengan cara yang serupa dengan penyerahan kuasa oleh Kesyogunan Tokugawa kepada Maharaja Jepun pada tahun 1868.[54]
Di bawah pentadbiran Jepun, banyak pembunuhan beramai-ramai ke atas orang awam berlaku, dengan anggaran sekitar 25,000 orang awam Cina di Johor terbunuh semasa pendudukan Jepun.[60] Walau bagaimanapun, Jepun menubuhkan Penempatan Endau (juga dikenali sebagai New Syonan Model Farm) di Endau untuk penempatan orang Cina bagi mengurangkan masalah bekalan makanan di Singapura.[61]
Selepas Perang Dunia Kedua dan Kemerdekaan
Pada permulaan perang, pihak British telah menerima tawaran daripada Parti Komunis Malaya (PKM) untuk bekerjasama menentang Jepun; bagi tujuan ini, PKM menubuhkan Tentera Anti-Jepun Rakyat Tanah Melayu (Malayan People's Anti-Japanese Army, MPAJA).[62] Penyokong PKM kebanyakannya terdiri daripada golongan berpendidikan Cina yang didiskriminasi oleh golongan elit berpendidikan Inggeris dan golongan Baba (Peranakan Cina Selat) ketika pemerintahan British. Matlamat utama mereka ialah memperoleh kemerdekaan daripada kuasa asing dan menubuhkan sebuah negara sosialis berlandaskan Marxisme–Leninisme seperti Republik Rakyat China.[63] Parti ini turut mempunyai wakil Melayu dan India. Mereka menyokong kekerasan sebagai cara untuk mencapai matlamat mereka.[63] Sepanjang perjuangan mereka menentang Jepun, mereka turut membunuh orang awam yang disyaki bekerjasama dengan Jepun,[64] manakala wanita Melayu yang diculik dijadikan wanita penghibur, seperti yang juga dilakukan oleh tentera Jepun.[65] Perkara ini membawa kepada serangan balas daripada sebahagian orang Melayu yang terkesan dengan serangan mereka dan memilih untuk bekerjasama dengan Jepun. Secara tidak langsung, hal ini mencetuskan konflik perkauman, terutamanya apabila propaganda perkauman dijalankan oleh kedua-dua pihak, yang akhirnya mengorbankan lebih ramai orang awam.[65][66] Pasukan Berikat melancarkan Operasi Tiderace dan Operasi Zipper untuk membebaskan Tanah Melayu dan Singapura. Dalam tempoh lima minggu sebelum British mengambil semula pentadbiran Tanah Melayu selepas Jepun menyerah kalah pada 16 Ogos 1945, MPAJA muncul sebagai pihak berkuasa de facto di Tanah Melayu.[62]
Johor dan seluruh Tanah Melayu secara rasmi diletakkan di bawah Pentadbiran Tentera British (British Military Administration, BMA) pada bulan September 1945, dan MPAJA dibubarkan pada bulan Disember 1945 selepas setiausaha agungnya, Lai Tek (yang juga merupakan ejen bermuka dua British),[54][67] menerima kembalinya pemerintahan penjajahan British dan mengamalkan sikap sederhana dengan pendekatan “terbuka dan sah” dalam mencapai matlamat mereka. Kebanyakan anggota MPAJA turut menerima pingat daripada British pada tahun berikutnya.[62][64] Namun, timbul pertikaian selepas British kembali ke Tanah Melayu apabila Lai Tek menghilangkan diri bersama dana PKM. Pentadbiran parti kemudiannya diambil alih oleh Chin Peng, yang tidak lagi mengamalkan “strategi sederhana” dan memilih strategi “perang revolusi rakyat”, yang akhirnya membawa kepada Darurat Tanah Melayu 1948.[62] Semasa darurat, serangan besar-besaran oleh PKM berlaku di kawasan Daerah Kulai hari ini dan beberapa kawasan lain di Tanah Melayu, tetapi PKM gagal menubuhkan “kawasan pembebasan” ala Mao Zedong.[62]
Pertempuran antara pasukan pendudukan British dan sekutu mereka di Tanah Melayu menentang PKM berlanjutan sehingga pembentukan Malayan Union pada 1 April 1946 dan seterusnya pengisytiharan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957.[68] Pada waktu kemerdekaan, wujud tiga aliran politik utama: Komunis, pro-British, dan pakatan berasaskan kaum. Kumpulan pro-British terbahagi kepada dua, iaitu Malayan Democratic Union (MDU) yang didominasi oleh orang Cina berbahasa Inggeris dan Eurasia yang bekerjasama dengan nasionalis Melayu berhaluan kiri “untuk kemerdekaan Tanah Melayu yang turut merangkumi Singapura”, dan satu lagi kumpulan pro-British yang terdiri daripada golongan Baba di bawah Straits Chinese British Association (SCBA), yang berusaha mengekalkan kedudukan serta keistimewaan mereka kerana kesetiaan mereka kepada British semasa era Negeri-Negeri Selat dengan kekal di bawah pentadbiran British.[63][69][70]
Sementara itu, pakatan berasaskan kaum yang diterajui oleh Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (United Malays National Organisation, UMNO) yang berada dalam Parti Perikatan bersama Kongres India Malaysia (Malaysian Indian Congress, MIC) dan Persatuan Cina Malaysia (Malaysian Chinese Association, MCA), menuntut kemerdekaan Tanah Melayu berlandaskan dasar keistimewaan kaum dan agama. Pakatan ini berjaya memenangi Pilihan raya umum Tanah Melayu 1955, dengan Johor Bahru sebagai pusat utama parti UMNO.[63]
Malaysia
Pada tahun 1961, Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman, berhasrat untuk menyatukan Tanah Melayu dengan tanah jajahan British di Borneo Utara, Sarawak dan Singapura.[71] Walaupun terdapat tentangan yang semakin meningkat daripada kerajaan Indonesia dan Filipina serta daripada penyokong Komunis dan nasionalis di Borneo, persekutuan tersebut berjaya direalisasikan pada 16 September 1963, dengan negara berdaulat itu dinamakan semula sebagai Malaysia.[72][73] Kerajaan Indonesia kemudiannya melancarkan “dasar konfrontasi” terhadap persekutuan baharu itu,[74] yang mendorong United Kingdom serta sekutu mereka dari Australia dan New Zealand untuk menghantar angkatan tentera mereka.[75][76] Daerah Pontian menjadi tempat pendaratan tentera amfibia Indonesia semasa konfrontasi, manakala Labis dan Tenang di Daerah Segamat menjadi tempat pendaratan pasukan para-komando Indonesia bagi tujuan subversif dan serangan sabotaj.[77][78][79] Beberapa pertempuran turut berlaku di Daerah Kota Tinggi, di mana sembilan anggota tentera Tanah Melayu/Singapura terbunuh bersama separuh daripada anggota penceroboh Indonesia, manakala selebihnya ditangkap.[80] Walaupun terdapat beberapa serangan yang turut meragut nyawa orang awam, pihak Indonesia tidak mencapai objektif utama mereka, dan konfrontasi tersebut berakhir pada tahun 1966 berikutan pergolakan politik dalaman di Indonesia akibat daripada Gerakan 30 September.[81][82]
Sejak berakhirnya konfrontasi, pembangunan negeri Johor telah berkembang pesat dengan pembinaan kawasan perindustrian dan taman perumahan baharu. Daripada jumlah keseluruhan projek pembangunan yang diluluskan untuk Johor dari tahun 1980 hingga 1990, sebanyak 69 peratus tertumpu di Johor Bahru dan kawasan Pasir Gudang.[83] Kawasan perindustrian dan taman perumahan baharu turut dibangunkan di penempatan di bahagian utara dan timur bandar, termasuk Plentong dan Tebrau.[84] Bandar Johor Bahru secara rasmi diiktiraf sebagai bandar raya pada 1 Januari 1994.[84] Pada 22 November 2017, Iskandar Puteri diisytiharkan sebagai sebuah bandar raya dan Kota Iskandar dijadikan sebagai pusat pentadbiran negeri Johor.[85]
Remove ads
Senarai Sultan dan Pemerintah Johor
Kerajaan Temenggung Johor (1855–1868)
Kerajaan Maharaja Johor (1868–1886)
Kesultanan Johor Moden (1886–kini)
Remove ads
Salasilah keluarga Sultan dan Pemerintah Johor
Wangsa Temenggung
Lihat juga
Rujukan
Wikiwand - on
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Remove ads