Adly Zahari
ahli politik Malaysia From Wikipedia, the free encyclopedia
Remove ads
Adly bin Zahari (Jawi: عدلي بن ظهري; lahir 15 Februari 1971) merupakan seorang ahli politik Malaysia yang telah berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Pertahanan dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan di bawah Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Menteri Mohamad Hasan sejak Disember 2022, Ahli Dewan Rakyat (AP) bagi Alor Gajah sejak November 2022 dan Ahli Dewan Undangan Negeri Melaka (ADUN) bagi Bukit Katil sejak Mei 2018. Beliau berkhidmat sebagai Ketua Menteri Melaka ke-11 dari Mei 2018 hingga Mac 2020 dan Ketua Pembangkang Negeri Melaka dari April 2020 hingga Disember 2022.[1] Beliau merupakan ahli Parti Amanah Negara (AMANAH), sebuah parti komponen Pakatan Harapan (PH), dan pernah menjadi ahli Parti Islam Se-Malaysia (PAS), sebuah parti komponen bekas gabungan Pakatan Rakyat (PR). Dalam AMANAH, beliau telah berkhidmat sebagai Naib Presiden sejak September 2021 dan Pengerusi Negeri Melaka sejak Ogos 2017. Beliau juga pernah menjadi Bendahari Agung AMANAH sebelum kenaikan beliau ke jawatan naib presiden parti. Beliau juga merupakan satu-satunya ADUN AMANAH di Melaka.[2][3]
Remove ads
Pendidikan dan kerjaya awal
Adly memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (BEng) dalam kejuruteraan elektrik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM).[4] Beliau kemudian bekerja sebagai jurutera, berkhidmat dalam sektor korporat dan memulakan perniagaan sendiri sebelum menceburi bidang politik.[5]
Kerjaya politik
Beliau merupakan ahli Parti Islam Se-Malaysia (PAS)[6] sebelum menyertai parti serpihannya, Parti Amanah Negara (AMANAH) pada tahun 2015.[7]
Ahli Dewan Undangan Negeri Melaka (sejak 2018)
Dalam Pilihan raya negeri Melaka 2018, Adly membuat penampilan sulung dalam pilihan raya selepas dicalonkan oleh PH untuk bertanding di kerusi negeri Bukit Katil. Beliau memenangi kerusi tersebut dan telah dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil bagi penggal pertama. Dalam pilihan raya negeri Melaka 2021 yang diadakan secara mengejut, Adly dicalonkan semula oleh PH untuk mempertahankan kerusi Bukit Katil. Beliau berjaya mempertahankan kerusi tersebut dan dipilih semula ke Dewan Undangan Negeri bagi penggal kedua. Walau bagaimanapun, beliau merupakan satu-satunya calon daripada partinya yang menang dan kekal sebagai satu-satunya ADUN AMANAH di Melaka selepas pilihan raya mengejut itu.
Ketua Menteri Melaka (2018–2020)
Pada 11 Mei 2018, satu peristiwa bersejarah dan pertama kali peralihan kuasa berlaku di Melaka apabila Pengerusi PH negeri Melaka, Adly mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka yang baharu selepas BN tewas kepada PH dalam pilihan raya negeri 2018. PH memperoleh majoriti mudah dalam Dewan Undangan Negeri dengan memenangi 15 daripada 28 kerusi negeri untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu.[1] Sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai Ketua Menteri, beliau dilaporkan menolak tawaran penganugerahan gelaran Datuk.
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Melaka (2020–2022)
Selepas PH kehilangan kuasa kepada BN, PH kembali menjadi pihak pembangkang. Pada 24 April 2020, Adly selaku Pengerusi PH negeri Melaka telah menjadi Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri yang baharu, selaras dengan konvensyen parlimen Westminster, di mana ketua parti atau gabungan terbesar yang tidak berada dalam kerajaan menjadi Ketua Pembangkang. Pada 13 Disember 2022, Adly melepaskan jawatan tersebut kepada Mohd Yadzil Yaakub selepas Ketua Menteri Sulaiman mengesahkan bahawa PH telah keluar daripada blok pembangkang dan menyokong kerajaan beliau sebagai rakan strategik.
Ahli Parlimen (sejak 2022)
Dalam pilihan raya umum 2022, Adly telah dicalonkan oleh PH untuk bertanding bagi kerusi Parlimen Alor Gajah. Beliau berjaya memenangi kerusi tersebut dengan majoriti tipis sebanyak 820 undi, menewaskan calon BN Shahril Sufian Hamdan, sekali gus terpilih sebagai Ahli Parlimen Alor Gajah.
Timbalan Menteri Pertahanan (sejak 2022)
Pada 10 Disember 2022, Adly telah dilantik sebagai Timbalan Menteri Pertahanan bagi membantu Menteri Mohamad Hasan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Terdapat spekulasi bahawa Adly akan dinaikkan pangkat bagi menggantikan Salahuddin Ayub yang meninggal dunia semasa memegang jawatan pada Julai 2023 sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dalam satu penyusunan semula kabinet. Namun begitu, Armizan Mohd Ali daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah dilantik ke jawatan tersebut dan Adly kekal sebagai Timbalan Menteri Pertahanan selepas penyusunan semula berkenaan.
Remove ads
Keputusan pilihan raya
Anugerah
Malaysia :
Rujukan
Pautan luar
Wikiwand - on
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Remove ads
