Mohamed Azmin Ali

Ahli politik Malaysia From Wikipedia, the free encyclopedia

Mohamed Azmin Ali
Remove ads

Mohamed Azmin bin Ali (Tulisan Jawi: محمد عزمين بن علي; lahir 25 Ogos 1964) merupakan seorang ahli politik Malaysia yang kini berkhidmat sebagai Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Selangor dan Ahli Dewan Negeri (ADN) bagi kawasan Hulu Kelang sejak Ogos 2023. Beliau sebelum ini merupakan Ahli Dewan Rakyat bagi kawasan Gombak dari 2008 hingga 2022. Azmin pernah menyandang jawatan Menteri Kanan Kluster Ekonomi dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam kabinet Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob dari tahun 2020 hingga 2022. Beliau merupakan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), yang merupakan parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN). Beliau juga pernah menjadi Ahli Dewan Negeri bagi Bukit Antarabangsa dari 2008 hingga 2023 dan bagi Hulu Kelang dari 1999 hingga 2004. Azmin kini menyandang jawatan sebagai Setiausaha Agung PN ke-2 sejak Disember 2024 dan Setiausaha Agung BERSATU ke-4 sejak November 2024. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Penerangan PN dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU. Beliau dikenali secara meluas sebagai salah seorang tokoh utama dalam Krisis politik Malaysia 2020–2022, memainkan peranan penting dalam kejatuhan kerajaan persekutuan Pakatan Harapan (PH) pada Februari 2020.

Fakta Segera Ketua Pembangkang Negeri Selangor, Raja ...
Remove ads

Tahun-tahun awal dan pendidikan

Mohamed Azmin Ali dilahirkan pada 25 Ogos 1964 di Singapura (ketika itu masih merupakan sebahagian daripada Malaysia) kepada pasangan Ali Omar dan Che Tom Yahaya. Bapanya bekerja sebagai kerani untuk Tentera British. Tidak lama selepas pemisahan Singapura dari Malaysia, keluarganya berpindah ke Kuala Lumpur.

Azmin memulakan pendidikannya di Sekolah Rendah Gurney Road, kemudian menyambung pelajaran ke Sekolah Menengah Setapak dan seterusnya ke Institut Teknik Jalan Cheras. Beliau melanjutkan pelajaran ke Universiti Minnesota, Amerika Syarikat, dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains (BSc) dalam bidang Ekonomi dan Matematik. Semasa pengajian, beliau aktif dalam politik kampus dan pernah mengajar matematik moden dan matematik tambahan. Salah seorang pelajarnya yang terkenal ialah Razali Ibrahim, bekas Timbalan Menteri, ketika mereka berada di MRSM Terendak. Azmin juga menyambung pengajian ke peringkat Sarjana Pendidikan (MEd) di universiti yang sama, di mana beliau bertemu dengan Shamsidar Taharin, isterinya kini. Beliau turut menghadiri program latihan eksekutif di Universiti Oxford, United Kingdom.

Remove ads

Kerjaya politik

Permulaan kerjaya

Pada tahun 1987, atas nasihat Perdana Menteri ketika itu, Mahathir Mohamad, Azmin mula bekerja untuk Anwar Ibrahim, yang pada masa itu merupakan seorang Menteri dalam kerajaan Barisan Nasional pimpinan Mahathir. Azmin berkhidmat sebagai setiausaha sulit kepada Anwar sepanjang pelantikan Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1993 sehinggalah Mahathir memecat Anwar pada tahun 1998. Selepas pemecatan tersebut, Azmin kekal rapat dengan Anwar dan mereka bersama-sama menubuhkan parti pembangkang, Parti Keadilan Nasional (KeADILan), yang kemudiannya bergabung dan dikenali sebagai Parti Keadilan Rakyat (PKR).[1]

Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen

Kerjaya politik Azmin bermula selepas beliau memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang dalam Pilihan Raya Umum 1999. Ketika itu, Parti Keadilan bertanding dalam pilihan raya tersebut dalam suasana kemarahan rakyat terhadap pemecatan dan pemenjaraan Anwar Ibrahim. Azmin telah dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor bagi kawasan Hulu Kelang. Namun begitu, beliau tidak dibenarkan bertanding dalam Pilihan Raya Umum 2004 kerana disabitkan kesalahan berbohong di mahkamah ketika perbicaraan kes terhadap Anwar. Akibatnya, beliau tidak dapat mempertahankan kerusi tersebut. Walau bagaimanapun, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan kemudiannya membebaskan beliau daripada tuduhan itu.[2]

Azmin kembali ke arena politik nasional dalam Pilihan Raya Umum 2008, di mana beliau memenangi kerusi Parlimen Gombak serta kerusi DUN Bukit Antarabangsa di Selangor. Pada tahun 2010, beliau memenangi pemilihan dalaman PKR sebagai Timbalan Presiden parti, menggantikan Syed Husin Ali yang tidak mempertahankan jawatannya.[3] Azmin kekal sebagai Timbalan Presiden PKR selepas menewaskan Rafizi Ramli dalam pemilihan parti tahun 2018.[4]

Dalam PRU 2013 dan PRU 2018, beliau berjaya mempertahankan kedua-dua kerusi tersebut.[5] Namun, beliau tewas di kerusi Parlimen Gombak dalam PRU 2022. Pada Pilihan raya negeri Selangor 2023, beliau tidak bertanding di kerusi Bukit Antarabangsa, sebaliknya bertanding di kerusi DUN Hulu Kelang dan berjaya memenanginya.

Menteri Besar Selangor

Azmin dilantik sebagai Menteri Besar Selangor pada 23 September 2014, susulan peletakan jawatan penyandang dari PKR, Khalid Ibrahim. Kenaikan Azmin ke jawatan tersebut berlaku selepas berbulan-bulan krisis politik dalaman dalam gabungan Pakatan Rakyat yang mentadbir negeri Selangor ketika itu. Khalid sebelum ini menjadi Menteri Besar sejak gabungan PKR, DAP dan PAS memenangi majoriti kerusi dalam Dewan Undangan Negeri Selangor pada pilihan raya umum 2008. Pada awal tahun 2014, Ketua Umum PKR ketika itu, Anwar Ibrahim yang merupakan Ahli Parlimen Persekutuan cuba untuk bertanding kerusi DUN Kajang melalui pilihan raya kecil. Tindakan ini dikenali sebagai "Langkah Kajang", yang bertujuan membolehkan Anwar menggantikan Khalid sebagai Menteri Besar dengan sokongan PKR. Namun, beberapa minggu sebelum pilihan raya kecil berlangsung, Anwar telah disabitkan kesalahan liwat dan tidak dapat bertanding. Isterinya, Wan Azizah Wan Ismail telah dicalonkan menggantikan tempat beliau dan memenangi kerusi tersebut. Khalid akhirnya meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar setelah PKR menarik balik sokongan terhadap kepimpinannya. PKR bersama sokongan DAP mencalonkan Wan Azizah untuk menggantikan Khalid, tetapi Sultan Selangor (yang mempunyai kuasa melantik Menteri Besar) dan PAS tidak bersetuju dan mencadangkan nama lain. Sultan kemudiannya meminta setiap parti dalam gabungan itu mengemukakan tiga nama untuk dipertimbangkan. PKR dan DAP hanya menghantar nama Wan Azizah, manakala PAS mengemukakan beberapa nama lain.[6][7][8][9] Pada 22 September, Sultan Selangor mengumumkan perlantikan Azmin sebagai Menteri Besar, dan beliau mengangkat sumpah jawatan pada pagi keesokan harinya.[10]

Azmin merupakan satu-satunya penerima Darjah Kebesaran Mahkota Selangor kelas Panglima Setia Mahkota Selangor (S.P.M.S.) pada tahun 2015, yang membawa gelaran 'Dato' Seri', sempena sambutan ulang tahun ke-70 Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 11 Disember 2015.[11]

Azmin dilantik semula sebagai Menteri Besar Selangor selepas memenangi semula kerusi DUN Bukit Antarabangsa dalam Pilihan raya umum Malaysia 2018. Beliau mengangkat sumpah jawatan pada petang 11 Mei 2018 di Istana Alam Shah.[12]

Menteri Hal Ehwal Ekonomi

Selepas Pilihan Raya Umum 2018, Azmin dinamakan sebagai salah seorang menteri dalam Perdana Menteri yang baru dilantik, Mahathir Mohamad, di bawah Kabinet Ketujuh Mahathir pada 18 Mei 2018.[13] Beliau telah dilantik untuk menerajui kementerian yang baru diwujudkan iaitu Kementerian Hal Ehwal Ekonomi. Azmin mengangkat sumpah sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi pada 21 Mei 2018 di Istana Negara.[14] Tempoh perkhidmatan beliau berakhir pada 24 Februari 2020 selepas pembubaran kabinet berikutan peletakan jawatan Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia. Berdasarkan Perkara 43(5) Perlembagaan Persekutuan Malaysia, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk membatalkan pelantikan para menteri apabila jawatan Perdana Menteri dikosongkan.[15][16][17]

Perubahan Sokongan Politik

Pada pagi 23 Februari 2020, Azmin mengadakan pertemuan dengan beberapa ahli parlimen dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan dua puluh yang lain di Hotel Sheraton, Petaling, di tengah-tengah khabar angin tentang pembentukan kerajaan campuran baharu di Parlimen Malaysia.[18] Beliau dan kumpulannya dalam PKR telah pergi ke Istana Negara pada petang hari yang sama untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Pemimpin dari lima parti politik lain; Bersatu (Muhyiddin Yassin), UMNO (Ahmad Zahid Hamidi), GPS (Abang Johari Openg), Warisan (Shafie Apdal) dan PAS (Hadi Awang) turut hadir.[19] Difahamkan bahawa para pemimpin ini hadir untuk memberi taklimat kepada Yang di-Pertuan Agong mengenai perkembangan politik terkini; iaitu pembentukan kerajaan campuran baharu serta menyatakan sokongan kepada calon Perdana Menteri baharu — secara tidak langsung menyekat hasrat Presiden PKR, Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri.[20][21][22]

Keesokan harinya, 24 Februari, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan dalam sidang media di ibu pejabat parti bahawa Azmin dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin (yang juga Naib Presiden PKR) telah dipecat daripada parti.[23] Menurut Saifuddin, pemecatan itu berikutan tindakan mereka pada 23 Februari yang dianggap bertentangan dengan prinsip parti berkaitan isu jawatan Perdana Menteri.[24] Azmin kemudian mengumumkan bahawa beliau akan membentuk blok bebas di Parlimen bersama Zuraida dan sembilan lagi ahli parlimen yang keluar daripada PKR selepas pemecatan itu.[25] Namun, pada 28 Februari 2020, wakil daripada Bersatu mengesahkan bahawa Azmin dan kumpulannya telah menyertai parti tersebut.[26] Azmin berkata bahawa beliau hilang kepercayaan terhadap Presiden PKR Anwar Ibrahim kerana "amalan seksual tidak bermoral" dan mempersoalkan status pengampunan penuh yang diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong kepada Anwar.[27] Beliau turut menegaskan bahawa komitmennya untuk memerangi rasuah kekal walaupun telah menyertai Bersatu. Azmin juga menafikan bahawa beliau menjadi punca utama kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Februari tahun tersebut.

Pada 9 Mac 2020, beliau telah dilantik sebagai salah seorang daripada empat Menteri Kanan dalam Kabinet Muhyiddin bersama Ismail Sabri Yaakob, Fadillah Yusof dan Mohd Radzi Md Jidin. Jawatan Menteri Kanan ini diwujudkan oleh Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri kelapan, sebagai pengganti kepada jawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia.[28] Walaupun keempat-empat menteri itu mempunyai kedudukan setara, Azmin telah diberi kepercayaan oleh Perdana Menteri untuk mempengerusikan mesyuarat kabinet jika beliau tidak hadir.[29]

Remove ads

Kontroversi dan Isu

Mangsa Penggodaman

Pada penghujung tahun 2011, seorang penyiasat persendirian dari Israel bernama Tamir Mori telah mengupah firma tentera siber upahan dari India, Appin, untuk menggodam lebih daripada 40 sasaran — termasuk Azmin.[30][31]

Dakwaan Video Seks Tular

Pada 12 Jun 2019, tersebar laporan bahawa Azmin dirakam sedang berintimasi dengan seorang lelaki yang juga pembantunya sendiri, Muhammad Haziq Abdul Aziz, dalam satu video yang tular di media sosial. Azmin menafikan penglibatannya.[32] Muhammad Haziq kemudian mengakui keterlibatannya dalam perbuatan tersebut bersama menteri berkenaan dan menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap Azmin.[33] Sehingga 16 Julai 2019, sembilan individu telah ditahan oleh Polis Diraja Malaysia berhubung siasatan pembikinan dan penyebaran video lucah itu, termasuk Haziq yang mengaku dirinya adalah individu dalam video tersebut, dan Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, Pengerusi PKR Negeri Perak yang juga setiausaha politik kepada Anwar Ibrahim.[34][35] Pada 18 Julai 2019, Ketua Polis Negara ketika itu, Abdul Hamid Bador, menyatakan bahawa walaupun video itu adalah tulen, individu dalam video tersebut tidak dapat dikenal pasti.[36] Beliau turut mendedahkan bahawa kumpulan individu yang terlibat dalam pembikinan video tersebut telah dibayar ribuan Ringgit, dan penyebaran video itu didalangi oleh seorang pemimpin parti politik dengan niat untuk menjatuhkan serta mencemarkan reputasi seseorang.[37]

Pengambilalihan Tanah di Selangor

Semasa berkhidmat sebagai Ahli Dewan Negeri Selangor, Azmin menyoroti beberapa kes rasuah yang melibatkan tanah dan isu hutan.[38] Semasa menjadi Menteri Besar Selangor, Azmin membuat beberapa keputusan berkaitan penggunaan tanah yang turut dipersoalkan. Khususnya, Azmin meluluskan pemberian lesen kuari kepada pembantunya sendiri.[39] Lesen-lesen ini diberikan dalam kawasan rizab hutan Bukit Lagong, bersebelahan dengan Institut Penyelidikan Hutan Malaysia.

Penglibatan dalam Gerakan Sheraton

Susulan pergelutan dalaman politik dalam kerajaan Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional, Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin bersama Presiden Parti Islam Se-Malaysia, Abdul Hadi Awang dan kumpulan ahli-ahli lompat parti Parti Keadilan Rakyat yang diketuai oleh Azmin Ali membentuk gabungan Perikatan Nasional. Gabungan ini turut bekerjasama dengan pemimpin UMNO, Ismail Sabri Yaakob bagi mengisi kekosongan kuasa selepas peletakan jawatan Perdana Menteri ketika itu, Mahathir Mohamad. Gabungan tersebut berjaya memperoleh majoriti mudah dalam kerajaan Malaysia, sekali gus mencetuskan ketidakstabilan politik yang membawa kepada krisis politik Malaysia.

Pengundi failkan saman terhadap Azmin

Sepuluh orang pengundi berdaftar di kawasan parlimen Gombak telah memfailkan saman terhadap ahli parlimen mereka, Mohamed Azmin Ali. Plaintif mendakwa bahawa kenyataan yang dibuat oleh Azmin adalah palsu dan hanya bertujuan untuk mendapatkan undi mereka. Mereka juga menyatakan bahawa mereka telah bergantung kepada representasi tersebut untuk mengundi defendan dalam Pilihan raya umum Malaysia 2018. Plaintif menuntut ganti rugi, termasuk ganti rugi teruk atau teladan, faedah, kos dan perintah lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah. “Dengan melanggar representasi ini, defendan telah mencabuli hak perlembagaan, khususnya prinsip demokrasi berparlimen dan demokrasi perwakilan,” kata mereka dalam penyataan tuntutan. Mereka memohon satu deklarasi bahawa defendan telah melanggar tanggungjawab fidusiari dan kewajipan terhadap mereka serta telah memperdayakan mereka.[40]

Remove ads

Kehidupan peribadi

Azmin berkahwin dengan Shamshida Tahrin, seorang graduan kewangan dari Universiti Minnesota. Pasangan ini dikurniakan tiga anak lelaki dan tiga anak perempuan.[41] Mereka menetap di Ampang.

Azmin mempunyai seorang abang bernama Azman Ali.[42] Antara adik-beradiknya yang lain termasuk adik lelaki beliau, pengacara televisyen dan selebriti Azwan Ali,[43] dan penceramah motivasi Arpah Ali. Adik perempuannya pula ialah Ummi Hafilda Ali, yang pernah menjadi saksi pendakwaan dalam perbicaraan liwat Anwar Ibrahim terhadap bekas timbalan perdana menteri yang dipenjara, Anwar Ibrahim.[44][45]

Remove ads

Keputusan pilihan raya

Maklumat lanjut Tahun, Kawasan pilihan raya ...
Maklumat lanjut Tahun, Kawasan pilihan raya ...
Remove ads

Anugerah

Rujukan

Pautan luar

Loading related searches...

Wikiwand - on

Seamless Wikipedia browsing. On steroids.

Remove ads