Bell Ngasri

Pelakon, pengacara dan pelawak Malaysia From Wikipedia, the free encyclopedia

Bell Ngasri
Remove ads

Nasrizal bin Ngasri (lahir 30 Ogos 1980) lebih dikenali sebagai Bell Ngasri ialah seorang pelakon dan pelawak Malaysia.[2][3] Prolifik dalam televisyen dalam filem di Malaysia sejak 1980-an, beliau memulakan kerjayanya sebagai pelakon kanak-kanak, seterusnya memperluaskan bakatnya apabila menginjak dewasa sekaligus dikenali dengan keupayaanya bermain dengan emosi penonton menerusi pelbagai watak lakonannya.[4][5]

Fakta Segera Kelahiran, Pendidikan ...

Antara filem-filem yang pernah dibintanginya seperti Puteri Impian (1997), Cinta 200 Ela (2002), Castello (2006), Tolong Awek Aku Pontianak (2011), Cicakman 3 (2015), Bulan dan Pria Terhebat (2020) dan 18 Puasa di Kampong Pisang (2021). Nasrizal juga telah berlakon dalam beberapa siri drama TV termasuk Idaman (1998–2001), KL Menjerit The Series (2008), Ahmad Durrah (2010), Pengembaraan Jason Murad (2015), Bibik-Bibikku (2016) dan Kampong Pisang Bersiri-siri (2020–2021). Beliau merupakan anak kepada penyiar terkenal, Ngasri Sain dan adik kepada Naszeli Ngasri serta abang kepada Anne Ngasri dan Darling Ngasri. [6][7][8]

Remove ads

Kehidupan awal

Beliau dilahirkan pada 30 Ogos 1980 di Hospital Assunta, Petaling Jaya, Selangor.[2] Beliau ialah anak ketiga daripada 6 beradik kepada ibu bapanya, bekas penyampai radio dan artis rakaman suara Ngasri Sain[9][10] dan isterinya, pelakon veteran Habibah Jaafar (kakak kepada Rashidah Jaafar).[2] Adik-beradiknya, Nasliza, Naszeli, Nasreen, Anne dan Nassuhada turut berkecimpung dalam bidang lakonan. Selepas memperoleh Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Nasrizal melanjutkan pelajarannya ke peringkat Diploma dalam bidang penyiaran di Akademi TV3 (kemudian dikenali sebagai Institut Media Integratif Malaysia atau MIIM).[2]

Remove ads

Kerjaya

Mewarisi bakat seni daripada bapanya, Ngasri yang merupakan bekas juruhebah Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan ibunya, Habibah Jaafar (adik pelakon Rashidah Jaafar) yang juga aktif dalam bidang lakonan, Nasrizal memulakan kerjaya lakonan ketika zaman prasekolahnya. Beliau pertama kali diperkenalkan di layar perak dalam filem Yassin (1988) arahan Tan Sri Kamarul Ariffin ketika berusia 7 tahun.[2]

Pada tahun 1988, beliau bersama dua adik-beradiknya, Nasreen (Darling) dan Naszriah (Anne) membintangi iklan sebelum bakat mereka dikesan oleh penerbit drama di RTM dan TV3. Pada tahun 1992, Nasrizal berlakon dalam drama Dam Dam Dum dan Cinta Mastura yang kedua-duanya disiarkan di TV1. Untuk persembahannya dalam Cinta Mastura, beliau dicalonkan bagi kategori Pelakon Pembantu Terbaik di Anugerah Seri Angkasa 1992. Beliau memegang watak tambahan sebagai Kassim dalam filem Perempuan, Isteri & .....? (1993) lakonan Sofia Jane dan Nasir Bilal Khan. Ia turut dibintangi oleh dua adiknya, Darling dan Anne.

Beliau juga berlakon dalam filem Cinta Kita (1995) dengan memegang watak sebagai Epi dan menjadi pelakon undangan dalam sitkom IQ Genius. Pada tahun 1997, Nasrizal berlakon bersama Shaheizy Sam dalam telefilem Pa'e arahan Shaharuddin Sulaiman dengan memegang watak sebagai pelajar sekolah nakal yang bernama Ajoy. Persembahan beliau dalam telefilem ini melayakkan beliau meraih trofi Pelakon Pembantu Terbaik di Anugerah Skrin 1998. Dari 1998 sehingga 2001, kerjaya lakonan Nasrizal diteruskan apabila beliau meningkat usia remaja dengan membintangi drama Idaman bersama barisan pelakon lain termasuk Jalaluddin Hassan, Deanna Yusoff, Janet Khoo, Kartina Aziz, Dian P. Ramlee, Sean Ghazi dan Nana Nurgaya.

Beliau juga berlakon bersama Khalid Salleh dengan memegang watak sebagai Shamsul dalam filem Kaki Bakar arahan U-Wei Haji Saari berdasarkan daripada novel Barn Burning karya penulis Amerika Syarikat, William Faulkner. Filem ini ditayangkan pada 1995 di Festival Filem Cannes 1995 yang berlangsung di Perancis, namun tidak ditayangkan di Malaysia sehingga 6 tahun kemudian, iaitu pada tahun 2001. Beliau juga pernah muncul dalam telefilem Neon (2003) arahan Mohd Feroz Abdul Kader lakonan Allahyarham Faizal Yusup dan Eric Fuzi bersama ramai pelakon termasuk Rashidi Ishak, Azhar Sulaiman, Aziz M. Osman, Saiful Apek, Sofi Jikan, Aziz Sattar, Kuswadinata, Abby Abadi, Serina Redzuawan, Zila Bakarin, Rita Rudaini, Kartina Aziz dan ramai lagi.[11]

Pada tahun 2004, beliau berlakon dalam filem Bisikan Remaja, diikuti oleh telefilem VCD, See You di IPT lakonan kumpulan nasyid UNIC. Nasrizal berlakon dalam dua filem pada tahun 2006, iaitu Castello sebagai Nik dan Cinta sebagai Amin. Dalam filem 1957: Hati Malaya (2007) arahan Shuhaimi Baba, beliau melakonkan watak sebagai bekas Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Sardon Jubir. Pada tahun 2007 juga, beliau membintangi drama web Kerana Karina dengan memegang watak sebagai Boy, seorang pendandan rambut.

2008 terus menjadi medan Bell cemerlang di kanvasnya sendiri dengan membintangi drama Ampang Medikal di ntv7, diikuti oleh drama Sutun Kembali Lagi di TV9 dan KL Menjerit The Series di Astro Ria. Tawaran berlakon filem juga diterimanya apabila beliau membintangi filem Antoo Fighter arahan Azizi "Chunk" Adnan dengan memegang watak sebagai Opie.

Beliau berlakon dalam dua filem pada tahun 2010, iaitu filem aksi komedi Kecoh Betul lakonan bersama Saiful Apek, Nabil Ahmad, Diana Danielle dan Yatt Hamzah. Beliau memegang watak sebagai Joe, seorang penghantar pesanan makanan di sebuah restoran makanan segera di ibu kota. Selepas Kecoh Betul, beliau muncul pula dalam filem aksi adiwira Kapoww!! Atoi The Ajaib Boy lakonan bersama Zizan Razak dan Lisa Surihani.

Nasrizal tidak berlakon dalam sebarang drama TV dalam tahun 2012 dan 2013. Bagaimanapun, beliau membintangi beberapa telefilem sepanjang tempoh itu. Antaranya ialah siri telefilem Bedah Tong Gas, Anakku Ghazali dan Mana Kuali Opah?. Satu-satunya filem lakonan beliau dalam tahun 2014 ialah Amir dan Loqman Pergi ke Laut yang menyaksikan beliau pertama kali bekerja di bawah arahan Mamat Khalid. Beliau membuat penampilan khas dalam filem ini.

Beliau berlakon dalam tiga filem pada tahun 2015, iaitu Rumah Pusaka Di Simpang Jalan sebagai Markona, kemudian diikuti oleh Cicakman 3 sebagai Jojo dan Jejak Warriors sebagai Rahim. Pada tahun yang sama, beliau membintangi drama komedi Pengembaraan Jason Murad yang mana isterinya, Farhana Fauri berkhidmat sebagai salah seorang penulis skrip. Pada tahun 2017, beliau membuat penampilan khas sebagai Orang Kampung dalam filem Pak Pong arahan Fauzi Nawawi, seterusnya berlakon di samping Sabri Yunus, Aziz M. Osman, Rab Khalid dan Man Kadir dalam telefilem 16 Puasa dengan memegang watak sebagai Ngas. Ditayangkan pada 8 Jun 2017 di Astro First Eksklusif, ia mengisahkan tentang sekumpulan penduduk kampung yang suka ponteng puasa dan menyembunyikan kegiatan mereka dari pengetahuan keluarga masing-masing. Beliau kembali beraksi dalam kesinambungannya, 17 Puasa pada tahun 2019.

Pada tahun yang sama juga, beliau berlakon dalam filem Hero: Jangan Bikin Panas lakonan bersama Mark Adam dan Hisyam Hamid. Pada tahun berikutnya, beliau berlakon dalam filem Bulan dan Pria Terhebat (2020) lakonan Zahirah MacWilson, diikuti dengan dua filem pendek lakonannya, iaitu Uncle Security dan Cikgu Ganti Dari Kampung. Nasrizal meneruskan kerjasamanya bersama Mamat Khalid dalam siri drama Kampong Pisang Bersiri-siri dan filem 18 Puasa di Kampong Pisang serta beberapa filem arahan Mamat yang lain dengan memegang watak sebagai Barkoba sekaligus watak lakonannya memberi tuah kepadanya dalam kerjaya lakonannya.

Beliau juga mengacarakan rancangan realiti Hijrahkan Laguku bersama Faizal Ismail yang disiarkan di TV Alhijrah dari 2021 sehingga 2022. Penampilan muzik video pertama Nasrizal ialah menerusi muzik video lagu "24434" yang dipersembahkan oleh kumpulan Floor 88. Nasrizal turut membintangi filem pendek terbitan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) yang bertajuk Cakaran yang disiarkan di saluran YouTube rasmi RISDA.

Remove ads

Kehidupan peribadi

Beliau berkahwin dengan penulis skrip, Farhana Fauri pada 30 Mac 2007.[12][13] Pasangan ini memfailkan perceraian pada 22 Oktober 2008,[14] namun merujuk semula pada Januari 2009.[15] Mereka mempunyai 3 anak, iaitu Nasfazril, Nasfarisya dan Nasfazira.

Filemografi

Filem

Maklumat lanjut Tahun, Tajuk ...

Drama

Maklumat lanjut Tahun, Tajuk ...

Telefilem

Maklumat lanjut Tahun, Tajuk ...

Televisyen

Maklumat lanjut Tahun, Tajuk ...

Peserta

Maklumat lanjut Tahun, Tajuk ...

Video muzik

Maklumat lanjut Tahun, Tajuk lagu ...
Remove ads

Anugerah dan pencalonan

Maklumat lanjut Tahun, Anugerah ...
Remove ads

Rujukan

Pautan luar

Loading related searches...

Wikiwand - on

Seamless Wikipedia browsing. On steroids.

Remove ads