Pelakon wanita Malaysia From Wikipedia, the free encyclopedia
Datin Lisa Surihani Mohamed (lahir 23 Mac 1986) ialah seorang pelakon, model, pengacara dan jurucakap produk Malaysia.[1][2][3][4][5][6] Beliau mula bergiat aktif dalam dunia hiburan tanah air sejak 1997 ketika berusia 11 tahun menerusi iklan Ovaltine yang menjadi kemunculan sulungnya di televisyen. Penampilan pertama Lisa di layar kaca ialah menerusi drama Gergasi (2002), seterusnya membuat kemunculan sulungnya di layar lebar pada 2006 menerusi peranannya sebagai Lara dalam filem Goodbye Boys arahan Bernard Chauly, sebelum meraih pengiktirafan meluas menerusi filem I'm Not Single (2008) yang melayakkanya menerima anugerah Pelakon Harapan Wanita di Festival Filem Malaysia ke-22.
Lisa Surihani | |
---|---|
Kelahiran | Lisa Surihani binti Mohamed 23 Mac 1986 |
Pendidikan | Undang-undang |
Pusat pendidikan | Kolej Universiti HELP Universiti Aberystwyth |
Pekerjaan | Pelakon, model, pengacara, jurucakap produk, penerbit |
Tahun aktif | 1997–kini |
Ketinggian | 160 cm (5 ka 3 in) |
Pasangan | Datuk Yusry Abdul Halim (k. 2012) |
Anak-anak | 3 |
Ibu | Siti Amirah Ahmad |
Bapa | Allahyarham Mohamed Mahbob |
Saudara | Mohamad Azan Mohamed (abang) |
Selepas I'm Not Single, Lisa membintangi filem Jangan Pandang Belakang Congkak (2009) sebagai Mustika Sudirman, filem aksi 2010 V3: Samseng Jalanan yang mana watak Kamsah lakonannya telah melayakkan beliau menerima pencalonan bagi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-23. Filem lakonannya Lagenda Budak Setan yang mana Lisa memegang watak utama sebagai Ayu, telah melayakkannya menerima anugerah Pelakon Wanita Terbaik di FFM 23 dan Pelakon Filem Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011.
Sepanjang kerjaya lakonannya, Lisa telah bekerjasama dengan ramai rakan seangkatannya, termasuk Farid Kamil, Shaheizy Sam, Aaron Aziz, Nur Fazura dan Maya Karin. Bagi peranannya sebagai duta dan jurucakap produk, Lisa telah menjadi duta dan jurucakap bagi pelbagai jenama dan produk termasuk Lip Ice Sheer Color, Freshlook, Rexona, DiGi, Garnier, Sofy BodyFit dan Marigold Peel Fresh. Sebagai pengacara, beliau telah mengacarakan program televisyen termasuk Down Memory Lane (RTM), Mari Menari (Astro Ria) dan HBO Sentral (HBO Asia). Pada Februari 2017, Lisa dilantik sebagai Duta Muhibah UNICEF Malaysia.[7][8][9]
Beliau dilahirkan sebagai Lisa Surihani binti Mohamed pada 23 Mac 1986 di Pusat Perubatan Pantai, Bangsar, Kuala Lumpur kepada ibu bapanya, Siti Amirah binti Ahmad (lahir 5 April 1952) dan Allahyarham Mohamed bin Mahbob (23 Januari 1947–31 Oktober 2008).[10][11] Beliau ialah anak keempat daripada lima adik-beradik dan mempunyai 3 abang (salah seorang abangnya ialah Mohamed Azan) serta seorang adik lelaki, Lisa merupakan anak perempuan tunggal dalam keluarganya dan berdarah kacukan Melayu (Bugis), Cina, India dan Arab.[12][13] Ketika berusia 3 tahun, keluarganya menetap di Jalan Gurney, kemudian berpindah ke Kampung Pandan.[13] Beliau dinamakan sebagai Lisa Surihani kerana nama ‘Surihani’ ialah daripada bapanya dan ‘Lisa’ ialah pilihan ibunya,[13] Lisa mendapat pendidikan awalnya di Sekolah Kebangsaan Sri Inai semasa zaman sekolah rendah dan menengah. Beliau berkelulusan dalam bidang undang-undang daripada Kolej Universiti HELP dan Universiti Aberystwyth di Wales, United Kingdom dan mempunyai ketinggian 158 sentimeter.[14]
Pada tahun 1997, Lisa Surihani memulakan kerjaya lakonannya sebagai pelakon kanak-kanak menerusi iklan susu coklat Ovaltine, ketika itu beliau berusia 11 tahun. Ia menjadi iklan pertama yang dijayakan oleh Lisa, setelah itu beliau lebih banyak muncul dalam beberapa iklan di televisyen, termasuk iklan McDonalds (2002) dan Hotlink Siti Nurhaliza Fantasia Tour (2004) bersama Datuk Siti Nurhaliza, turut menjayakan iklan selama seminit ini ialah Sazzy Falak dan Nadiya Nisaa.[15]
Kemunculan pertamanya di televisyen ialah menerusi drama Gergasi di TV1 pada 2002 dan kemudian diikuti oleh drama Ayah Kami (2004) juga bersiaran di TV1. Pada 2006, beliau membuat kemunculan filem cetera sulungnya menerusi filem Goodbye Boys lakonan Razif Hashim dan Nas-T arahan Bernard Chauly, yang mana beliau memegang watak sebagai Lara. Dua tahun kemudian, pada 2008, namanya mula menjadi perhatian ramai apabila beliau melakonkan watak sebagai Maya menerusi filem romantik yang juga filem kedua lakonannya, I'm Not Single[16] arahan Pierre Andre lakonan bersama Farid Kamil, Awal Ashaari dan Intan Ladyana, yang menandakan gandingan pertamaya bersama Farid,[17] filem ini melayakkan beliau menerima anugerah Pelakon Harapan Wanita di Festival Filem Malaysia ke-22 pada 2009. Lisa berlakon bersama Remy Ishak dalam siri drama romantik Obsesi arahan Murali Abdullah yang disiarkan di TV3 pada 5 November hingga 28 Disember 2008.[18] Lisa menjayakan watak utama sebagai Suriati yang merupakan isteri kedua Tengku Azizudin (Remy) yang telah kematian isteri.[19]
Lisa membintangi telefilem pertama lakonannya, Ponti Anak Remaja bersama pelakon utamanya, Liyana Jasmay yang memulakan tayangan perdana di Astro Ria pada 23 Mac 2009. Pada 22 April, beliau berlakon bersama Yana Samsudin dan Rozita Che Wan sebagai pelakon utama untuk drama 3 Janda yang bersiaran di Astro Prima, Lisa memegang watak utama sebagai seorang janda yang bernama Intan. Beliau menjayakan watak wanita misteri bernama Mustika Sudirman dalam filem seram komedi arahan Idham, Jangan Pandang Belakang Congkak lakonan Shaheizy Sam, Lan Pet Pet dan Cat Farish yang ditayangkan pada 4 Jun.[20] Beliau kemudiannya menghidupkan watak antagonis bernama Kamsah dalam filem aksi permotoran V3 Samseng Jalanan; dikeluarkan pada 11 Mac 2010, filem ini merupakan arahan sulung Farid Kamil dengan lakonlayar oleh Farid dan Soffi Jikan. Lisa berkata mengenai wataknya: "Pada mulanya Farid ingin menggunakan nama Melor kepada watak saya. Dengan sekali gurauan dalam corong telefon, terkeluar nama Kamsah daripada mulut saya tanpa disangka." Bagi menghidupkan watak Kamsah, beliau diminta oleh Farid untuk menghisap rokok bagi menyesuaikan imej Kamsah yang tidak banyak bercakap.[21] Beliau dan Farid sekali lagi bergandingan menerusi filem Semerah Cinta Stilleto arahan Ahmad Idham.[22] Di samping itu, Lisa berpasangan bersama bekas penyanyi kumpulan Ruffedge, Syed Hussein menerusi drama Adamaya[23] arahan Mohd Feroz Abdul Kader dan ditulis oleh Zarihah Hassan yang bersiaran di Slot Akasia TV3 pada 6 April 2010, drama ini turut dibintangi oleh Allahyarham Faizal Yusup yang meninggal dunia pada sambutan Tahun Baru 2011,[23] Lisa melakonkan watak sebagai Maya, seorang pelajar tahun kedua dalam bidang insurans di sebuah universiti terkemuka.[23] Seterunya, beliau menyertai barisan pelakon utama filem aksi komedi adiwira arahan Azizi "Chunk" Adnan, Kapoww terbitan Tayangan Unggul, Lisa melakonkan watak protagonis, Siti Nurhasnita, dan menyaksikan gandingan pertamanya bersama Zizan Raja Lawak.[24][25]
Pada 7 Oktober 2010, Lisa kembali menjayakan watak Mustika Sudirman dalam kesinambungan filem Jangan Pandang Belakang Congkak, Jangan Pandang Belakang Congkak 2 yang masih mengekalkan barisan pelakon asalnya kecuali Shaheizy Sam.[26] Beliau ditawarkan membintangi filem Zoo arahan Azhari Zain yang mengangkat tema hidupan liar, Lisa melakonkan watak sebagai Shila, seorang penjaga zoo.[27] Penggambaran filem ini sebahagiannya dijalankan di Zoo Negara, salah satu muzium haiwan yang terkemuka di Malaysia.[28] Beliau kemudian berlakon bersama Razali Hussein dalam telefilem khas sempena Ramadan yang bertajuk Azan yang disiarkan di TV1,[29] Lisa membawakan watak sebagai Rosa,[29] seorang gadis yang berasal dari keluarga berada yang mengalami trauma setelah terlibat dalam nahas jalan raya.[29] Pada 20 Oktober 2010, beliau memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-23 menerusi filem Lagenda Budak Setan arahan Sharad Sharan. Kedua-duanya adalah filem gandingan beliau dan Farid.[30]
Beliau kembali ke bidang pengacaraan selepas hampir tiga tahun, Lisa bersama Marion Caunter, Sarah Lian dan Cheryl Samad mengacarakan program sukan 13 episod MyEG Extra Time Bring It! di saluran ESPN.[31] Seterusnya, beliau bersama Awal Ashaari mengacarakan rancangan Mari Menari di Astro Ria.[31]
Pada April 2011, Lisa memenangi kategori Pelakon Filem Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010,[32] menewaskan saingan terdekatnya termasuk Diana Danielle, Liyana Jasmay, Maya Karin dan Scha Al-Yahya, beliau juga dicalonkan bagi kategori Pelakon TV Wanita Popular, tetapi dimenangi oleh Fasha Sandha. Beliau digandingkan lagi bersama Shaheizy Sam menerusi filem Sekali Lagi arahan Hashim Rejab yang berkisarkan tentang Arman yang menghidap penyakit autisme,[33][34] filem ini memperolehi Lisa mendapat pencalonan bagi Heroin Terhebat di Anugerah Blokbuster yang julung kalinya diadakan, dan pencalonan bagi kategori Pelakon Filem Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2012 serta pencalonan bagi Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-24. Beliau menjadi salah seorang daripada empat selebriti termasuk Aznil Nawawi, Amy Search dan Low Ngai Yuen yang dijemput untuk menghadiri forum online Meja Bulat 1Malaysia di pejabat Perdana Menteri pada Jun 2011.[13][35]
Selain itu, Lisa melakonkan watak antagonis Mila Amylia Rashdan dalam filem drama romantik Ombak Rindu arahan Osman Ali yang diadaptasi daripada novel 2002 dengan judul sama karya Fauziah Ashari, filem yang ditayangkan pada 1 Disember 2011 turut dibintangi oleh Maya Karin, Aaron Aziz dan Bront Palarae ini merupakan kejayaan komersial dan mendapat sambutan, meraih kutipan tayangan tertinggi sebanyak RM10.90 juta di belakang filem KL Gangster arahan Syamsul Yusof yang meraih kutipan RM11.74 juta.[36] . Menerusi filem box office ini Lisa meraih gelaran Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Anugerah Skrin 2012 serta dicalonkan buat kali kedua dalam kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia. Pada 29 Disember 2011, Lisa berlakon dalam filem terakhirnya bersama Metrowealth Pictures, Papa I Love You arahan Hashim Rejab, lakonan bersama Zalif Sidek dan Mia Sara Nasuha, bagaimanapun, filem ini menjadi kegagalan komersial semasa tayangannya di pawagam.[37]
Pada awal 2012, beliau memegang watak pembantu dalam kesinambungan trilogi filem yang diadaptasi daripada novel dengan judul sama karya Ahadiat Akashah, Lagenda Budak Setan 2: Katerina yang dibintangi oleh Farid Kamil dan Maya Karin.[38] Beliau seterusnya membintangi filem psiko-thriler romantik arahan sulung Syafiq Yusof, SAM: Saya Amat Mencintaimu bersama Shaheizy Sam dan Syamsul Yusof, Lisa melakonkan watak dirinya sendiri sebagai pembantu peribadi dan teman wanita Sam. Filem ini ditayangkan pada 19 Ogos 2012 sempena Hari Raya Aidilfitri, turut dibintangi oleh Neelofa dan Azad Jasmin.[39]
Pada November 2012, Lisa menjayakan peranan sebagai Siti Hasmah Mohd Ali, isteri kepada Perdana Menteri Malaysia ke-4, Mahathir Mohamad dalam teater penghargaan Tun Siti Hasmah yang diarahkan oleh Erma Fatima, beliau dilaporkan menggantikan Erra Fazira yang menarik diri daripada projek tersebut kerana kekangan masa dan jadual yang padat.[40][41][42] Pelakon lain yang turut menjayakan teater ini termasuk Eja, Esma Daniel dan Nazim Othman.[40] Beliau sekali lagi bekerja di bawah arahan Bernard Chauly menerusi filem Istanbul Aku Datang! terbitan Red Communications, yang mana beliau memegang watak sebagai Dian yang pada asalnya dilakonkan oleh Fazura sebelum menarik diri kerana pertindihan jadual kerjanya. Filem ini turut dibintangi oleh Tomok dan Beto Kusyairy, dan ditayangkan pada 8 Disember 2012, difilemkan di Istanbul, Turki. Persembahannya dalam filem ini melayakkan beliau memenangi Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Lawak Warna 2013 dan menerima pencalonan bagi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Anugerah Festival Filem Antarabangsa Asia yang julung kali diadakan.[43] Lebih manis lagi, Lisa menyertai senarai aktres hebat yang memenangi gelaran Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia apabila meraih gelaran keduanya menerusi filem ini pada edisi ke-26.
Pada 11 April 2013, Lisa menjadi tunjang utama bersama Anzalna Nasir, Nasha Aziz dan Adrea Abdullah menerusi drama Maskara arahan Nizam Zakaria terbitan KRU Studios yang bersiaran di TV1; Lisa menjayakan watak utama sebagai Lynn, yang dipaksa kahwin dengan lelaki lebih tua dan terpaksa hidup dengan lelaki yang tidak dicintainya.[44] Ia mengisahkan tentang empat jelitawan—Lynn, Liza, Hani dan Sue yang membentuk satu sistem sokongan sesama mereka dalam berdepan dengan isu keluarga, masalah cinta, persahabatan sehinggalah ke soal rumahtangga.[45][46]
Lisa meminjamkan suaranya bagi watak Smurfette dalam alihsuara versi bahasa Melayu bagi filem animasi Amerika Syarikat 2011, The Smurfs untuk siaran di HBO Asia pada 22 Jun 2013.[47]
Satu-satunya filem lakonan Lisa dalam tahun yang sama ialah filem Ular arahan Jason Chong, yang menyaksikan pertama kali beliau berlakon bersama suaminya, Yusry KRU.[48] Pada tahun yang sama, beliau membintangi telefilem Mama Mama Mia lakonan bersama Hanis Zalikha yang disiarkan di Astro Ria pada 30 Mei 2013. Pada 2014, Lisa menjadi rakyat Malaysia pertama yang akan muncul di E! News Asia Special[49] bersama pengacaranya Marion Caunter, menjadikan beliau ikon dan pemimpin dalam budaya pop.[49] Rancangan ini membawa penonton dan peminat setia Lisa menyelami apa yang tidak pernah dilihat sebelum ini di dalam kehidupan beliau,[49] menampilkan temubual bersama suaminya, Yusry, keluarga, kawan rapat serta mereka yang rapat dengannya,[49] ia disiarkan di saluran E! Asia pada 13 April 2014.[49] Lisa menyertai artis serantau lain seperti Jay Park dari Korea Selatan, Aaron Aziz dari Singapura, dan Anne Curtis dari Filipina.[5]
Juga pada tahun yang sama, Lisa melangkah ke bidang muzik buat pertama kalinya apabila beliau merakamkan lagu bersama suami menerusi lagu duet sulung mereka, "Kekasih Abadi"[50] yang mana sisi romantis mereka diluahkan dalam seni dimana mereka telah mengabadikan kisah cinta yang berjanji untuk sehidup semati di dalam lagu ini.[50] Lagu tersebut juga digunakan sebagai lagu tema bagi sebuah program travelog Pasport Cinta Yusry-Lisa,[50] siri sebanyak 13 episod ini mula bersiaran di TV2 pada Mac[50] dan diinspirasikan dengan konsep percutian bulan madu Yusry dan Lisa menampilkan mereka pasangan suami isteri yang mengembara ke seluruh negeri di Malaysia,[50] dimana penonton berpeluang melihat perbezaan perwatakan Yusry dan Lisa dalam merancang percutian bajet mereka.[50] Pada 8 Januari, lagu "Kekasih Abadi" dimuatnaik di YouTube rasmi KRU Music.[50][51] Selain itu, beliau turut meminjamkan suaranya bagi watak Lucy dalam versi bahasa Melayu bagi filem animasi Hollywood 2013, Despicable Me 2 untuk siaran di HBO Asia, turut meminjamkan suara untuk filem itu ialah Harith Iskander sebagai Gru dan Nelydia Senrose sebagai Margo.
Beliau diberi kepercayaan oleh HBO Asia sebagai pengacara untuk rancangan HBO Sentral yang memulakan tayangan perdana pada 27 April 2014.[52][53] Ini menjadikan beliau sebagai selebriti tempatan pertama yang mengacarakan rancangan itu untuk pasaran Asia, HBO Sentral merupakan panduan bulanan baru di HBO (saluran 411) dan HBO HD (saluran 431) yang memberi peluang kepada penonton untuk mengetahui filem-filem Hollywood yang akan disiarkan pada setiap bulan.[54] Untuk musim kedua, beliau digantikan oleh Nabil Ahmad.[55]
Lisa kembali menjayakan watak Ayu dalam trilogi terakhir Lagenda Budak Setan, Lagenda Budak Setan 3: Kasyah - Legenda Berakhir arahan Sharad Sharan. Bersama pelakon berbakat, Fizz Fairuz, beliau membintangi filem seram suspens-thriller arahan Jason Chong, Dendam Orang Mati,[56] Lisa memegang watak utama sebagai Lena yang tersedar dari koma selama dua tahun dan hilang ingatan akibat kemalangan.[56][57] Ketika menjalani penggambaran filem ini, Lisa mengakui tertekan kerana mengalami sedikit gangguan kerana terbawa-bawa watak Lena yang dilakonkannya.[57][58] Menurutnya, beliau banyak mengorbankan masanya demi watak Lena lakonannya.[57] Beliau pada mulanya menolak untuk membintangi filem itu. Bagaimanapun, Lisa memberanikan diri menyahut cabaran tersebut atas dorongan dan nasihat agar keluar daripada kepompong lakonan kebiasaannya.[57][59] Filem beliau seterusnya, Manisnya Cinta di Cappadoccia[60][61][62] arahan Bernard lakonan bersama Fazura dan Shaheizy Sam ditayangkan di pawagam pada 11 Disember 2014. Namun menerusi filem Dendam Orang Mati melayakkan Lisa menerima pencalonan di Festival Filem Malaysia ke-26 bagi Pelakon Wanita Terbaik,[43] bagaimanapun rezeki tidak memihak kepadanya apabila anugerah itu dimenangi oleh Fazura.[43] Beliau bagaimanapun, tidak dapat memberikan komitmen untuk sebarang promosi Festival Filem Malaysia ke-27 dan hadir pada malam kemuncak kerana beliau sarat mengandung.[63][64] Pada Oktober 2014, Lisa dilaporkan bakal mengarahkan filemnya sendiri sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa[65] dan bakal menduduki kerusi pengarah untuk projek 'Ikal Mayang' ketiga dijadual untuk tayangan pada 8 Mac 2015.[65] Walau bagaimanapun, senarai barisan pelakon yang terlibat masih belum didedahkan oleh pihak penganjur yang ingin merahsiakan perkara ini pada masa itu.[65] Pada bulan yang sama, beliau bersama Tony Eusoff dan Nadia Aqilah mengambil bahagian dalam pementasan ketiga bagi teater muzikal P. Ramlee the Musical arahan Adlin Aman Ramlie dan Zahim Albakri yang diadakan di Istana Budaya pada 3 hingga 12 Oktober di mana Lisa melakonkan watak sebagai Junaidah Haris.[66][67]
Pada 1 November 2014, Lisa memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-26 (FFM26) menerusi watak lakonannya sebagai Dian dalam filem Istanbul Aku Datang arahan Bernard Chauly,[68] beliau menewaskan saingan terdekatnya seperti Diana Danielle (Sembunyi), Ummi Nazeera (Penanggal), Sharifah Amani (Psiko Pencuri Hati) dan Kalpana Sundraju (Dhusrajanam).[68]
Lisa memulakan lembaran 2015 dengan filem terbaru lakonannya, Suamiku Encik Perfect 10[69][70] yang sekali lagi memperlihatkan beliau berimej muslimah sekaligus menggandingkannya bersama Aaron Aziz buat kali kedua.[71][72] Kali terakhir mereka Lisa dan Aaron berlakon bersama ialah pada 2011 menerusi filem Ombak Rindu arahan Osman Ali.[73] Dalam filem arahan Mohd Feroz Abdul Kader ini, Lisa melakonkan watak Aleeya Azmeen, seorang pelajar yang terpaksa berlakon sebagai pasangan suami isteri dengan Zarief Daniel selama seminggu di Malaysia selepas memgandungkan anak bersama teman lelakinya.[74] Seterusnya, Lisa muncul dalam filem lakonannya bersama Zizan Razak, Cicakman 3[75][76] arahan suaminya Yusry KRU dan arahan bersama oleh Ghaz Abu Bakar, menemui penonton di pawagam pada 12 Mac 2015, beliau menggantikan Fasha Sandha yang berlakon dalam dua filem terdahulu, dan memegang watak sebagai Linda, isteri kepada Man/Cicakman.
Selepas Suamiku Encik Perfect 10 dan Cicakman 3, Lisa muncul pula menerusi filem muzikal arahan Osman Ali bertajuk Sinaran yang menggabungkan tiga negara, Malaysia, Singapura dan Indonesia.[77] Filem yang dinamakan sempena lagu nyanyian Sheila Majid[78] dengan judul sama ini ditayangkan pada 26 November 2015 turut dibintangi oleh Izara Aishah, pelakon Singapura Syarif dari kumpulan Sleeq dan pelakon Indonesia, Evan Sanders, dalam filem ini, Lisa melakonkan watak Shila, pelajar baharu kolej yang belajar mengenai cabaran dalam menjalani kehidupan dan dalam perhubungan cinta.[79] Filem ini merupakan filem kedua Lisa di bawah arahan Osman selepas Ombak Rindu dan ia juga memerlukan beliau belajar menari.[80][81]
Pada April 2016,[82] beliau bersama suami, Yusry mengacarakan rancangan e-bu Babypedia di Astro Ria,[83] sebuah rancangan yang menyingkap perjalanan saat manis Lisa dan Yusry bergelar ibu dan bapa dan mengupas kebenaran yang terselindung disebalik tradisi yang terdapat di seluruh dunia.[84] Pada majlis pelancaran e-bu Babypedia, Lisa dan Yusry tidak berhasrat memberi hak eksklusif kepada mana-mana stesen televisyen termasuk Astro untuk mendedahkan gambar anak sulung mereka Yahaira Leanne.[85][86]
Pada 14 Mei 2016, Lisa membintangi bersama pelakon senior Didie Alias dan aktor yang sedang meningkat naik, Syafiq Kyle dalam telefilem berjudul Syahadah Yang Hilang arahan Ghaz Abu Bakar yang berkisarkan mengenai seorang wanita tua yang merupakan bekas penari istana yang membela saka. Ia bersiaran menerusi slot Karya 12 di Astro Citra.[87] Beliau meneruskan rentetan kerjasama dengan Bernard menerusi telefilem Kontena Ana yang memulakan tayangan perdana menerusi slot Citra Exclusive di Astro Citra dan Astro Mustika HD pada 12 Ogos 2017, berlatarbelakangkan tahun 2001 di Miri, Sarawak, di mana perceraian melalui SMS berlaku kepada Ana dan dia bertekad untuk membetulkan keadaan. Ini menjadikan Lisa satu-satunya pelakon telefilem ini, yang mana beliau turut mengolah jalan cerita (boleh dirujuk menerusi kredit telefilem ini).[88] Beliau bersama suaminya mengacarakan e-bu Babypedia musim kedua.
Lisa dan suaminya, Yusry berangkat ke Sepanyol bagi menjalani penggambaran muzik video "Abang Nak Tegur" nyanyian usahawan kosmetik Aliff Syukri Kamarzaman dan Nur Sajat. Muzik video ini mendandakan percubaan sulung Lisa di belakang tabir sebagai kru penerbitan, yang mana beliau berkhidmat sebagai Pembantu Penerbitan dan Pembantu Pengarah Kedua.[89] Pada Mac 2018, Lisa dan suami menjadi tetamu jemputan rancangan terbitan ntv7 Kata Serasi, yang dihoskan oleh Diana Danielle dan Nazrudin Rahman.
Lisa berlakon dalam drama Jibril arahan Megat Shahrizal yang diterbitkan untuk platform digital oleh Viu dengan kerjasama Media Prima Berhad; memegang watak sebagai Mona.[90] Pelakon lain yang terlibat termasuk Tony Eusoff, Aeril Zafrel, Zahiril Adzim dan Sangeeta Krishnasamy.[91]
Beliau merupakan salah seorang pelakon utama telefilem Geng yang ditayangkan di Astro First Eksklusif, memegang watak sebagai Mariam. Ia turut dibintagi oleh Nadiya Nisaa dan Sherry Alhadad dan menjadi lakonan terakhir beliau sebelum berhijab.[92] Lisa kemudian menjadi pengacara rancangan Tanya Doktor bersama Dr. Say Shazril.[93]
Pada tahun 2020, Lisa muncul dalam telefilem 6 Hari yang menjalani penggambaran semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan penularan pandemik COVID-19 di Malaysia. Ia turut dibintangi oleh Neelofa dan Aaron Aziz. Telefilem ini memulakan tayangan perdana di Astro Citra pada 13 Jun 2020.[94][95][96]
Pada 28 Julai, beliau menjayakan peranan utama bersama Farid Kamil dan Sharnaaz Ahmad dalam Pelindung Seorang Puteri, adaptasi dari novel 2018 bertajuk sama karya Mia Kiff. Ia mengisahkan Rose yang membawa diri jauh daripada keluarga setelah difitnah kerana sering diekori oleh pengendap misteri walaupun dia sendiri sebenarnya tidak pasti akan identiti pengendap misteri tersebut.[97] Ini merupakan projek penyatuan semula Lisa dan Farid dalam tempoh 10 tahun sejak V3: Samseng Jalanan dan Lagenda Budak Setan, yang kedua-duanya dikeluarkan pada 2010.
Pada tahun 2021, Lisa menggalas tanggungjawab sebagai penerbit untuk drama Ramadan Pertama Edi arahan suaminya, Yusry Abdul Halim untuk jenama Gempak Originals dan dibintangi oleh Redza Rosli, Mimi Lana, Aznil Nawawi dan Elly Mazlein serta beliau sendiri. Setahun kemudian, beliau mengacarakan rancangan Sakinah, Mawaddah Warahmah yang disiarkan di Astro Oasis.[98][99]
Lisa Surihani dan bekas penyanyi kumpulan KRU, Yusry Abd Halim mengakhiri perhubungan cinta mereka dengan majlis perkahwinan yang berlangsung selepas solat Asar pada 23 Februari 2012 di Masjid Tuanku Mizan, Putrajaya dan Majlis Resepsi berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 26 Februari. Sebelum ini mereka mengadakan sidang akhbar perkahwinan mereka di Marriott Hotel & Spa, Putrajaya. Mereka tidak bertunang sebaliknya terus bernikah pada 23 Februari.[100][101][102][103][104] Lisa dan Yusry sebelum ini dilaporkan enggan menjadikan hubungan mereka seumpama cinta monyet sebaliknya mahu hubungan yang lebih matang.[105] Sebuah dokumentari eksklusif sebanyak dua episod mengenai kisah cinta pasangan itu sejak dari awal perkenalan sehingga perkahwinan telah disiarkan secara eksklusif di Astro Ria paad 25 Februari 2012.[106]
Turut hadir ialah ibu bapa Yusry, Abdul Halim Kamal dan Zarina Abdul Wahab Fenner serta abang sulung, Norman Abd Halim serta ibu Lisa, Siti Amira Ahmad. Lisa dan Yusry menyambut kedatangan cahaya mata sulung mereka, Yahaira Leanne yang dilahirkan pada 15 September 2015,[107][108][109] pada tahun berikutnya, beliau hamil anak kedua.[110][111] Pada 23 April 2018, beliau melahirkan anak keduanya, seorang bayi lelaki kira-kira jam 7.10 pagi dan berada dalam keadaan sihat serta stabil dan ditempatkan di wad Pusat Perubatan Pantai, Bangsar.[112][113][114] Pada 1 Mei, pasangan ini menamakan cahayamata kedua mereka sebagai Yusof Leonne sempena majlis tahnik bayi kedua mereka.[115][116]
Bapa Lisa, Mohamed Mahbob meninggal dunia pada 31 Oktober 2008 akibat kanser paru-paru, meninggalkan beliau dan adik-beradiknya di bawah jagaan ibunya.[117][118][119] Beliau ialah peminat setia KRU dan pernah menjadi penari latar kumpulan ini.[120]
Pada 11 Januari 2013, Lisa mengalami kerugian sejumlah RM50,000 selepas kad ATM miliknya disalahgunakan oleh individu tidak bertanggungjawab. Berkutan kes tersebut, beliau dan ibunya, Siti Amirah membuat laporan polis berkenaan kehilangan wang dari akaun banknya. Beliau merujuk kepada pihak bank dan dimaklumkan kad ATM beliau tidak boleh digunakan lagi kerana telah disalah guna oleh individu lain tanpa pengetahuannya.[121][122] Kejadian yang berlaku pada Jumaat jam 10.30 pagi apabila ibu Lisa ingin mengeluarkan sejumlah wang di mesin ATM di sebuah bank di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi dan mendapati duit yang disimpan sudah tiada dalam akaun.[123] Lisa kemudian menyatakan rasa bersyukur apabila pihak polis berjaya menahan seorang kakitangan bank wanita yang menceroboh akaunnya sehingga mengakibatkan kehilangan wang berjumlah RM50,000 dan memberinya pengajaran untuknya lebih berhati-hati pada masa depan.[124]
Pada Jun 2019, Lisa mengumumkan telah bertudung selepas pulang dari mengerjakan umrah di Mekah, Arab Saudi. Beliau telah memuat naik beberapa keping gambarnya ketika berada di sebuah acara di laman Instagramnya.[125] Menurut Lisa dalam temuramah bersama Astro Awani, keputusan beliau untuk bertudung bukan atas nasihat Yusry, namun masih berusaha untuk mencari hidayah dan keputusan memakai hijab bukan perkara mudah.[126]
Pada 15 Jun 2021, Lisa dikurniakan anak ketiga, iaitu anak lelaki keduanya yang dilahirkan sempena hari lahir suaminya, Yusry yang ke-48.[127][128]
Lisa dikenali sebagai seorang pelakon yang bebas dari kontroversi, malah beliau diberi jolokan "Malaysia’s Sweetheart" (Buah Hati Rakyat Malaysia) oleh media tempatan.[5] Berdasarkan dari satu ulasan oleh Mohd Al-Qayum Azizi dari mSTAR Online mengenai lakonannya dalam Dendam Orang Mati, beliau berkata: "watak Lena adalah paling terbaik yang pernah dibawa oleh Lisa sepanjang kerjaya lakonannya dan tidak hairan sekirannya beliau merangkul trofi Pelakon Wanita Terbaik selepas ini."[56] Selain penampilan media elektronik, Lisa juga membuat penampilan media cetak sebagai penghias muka depan untuk beberapa majalah termasuk Mingguan Wanita, Media Hiburan, InTrend, URTV dan Remaja dan akhbar termasuk Berita Harian, Utusan Malaysia, New Straits Times dan The Star.[5] Sepanjang dua dekad tahun berkecimpung dalam bidang lakonan, Lisa tidak meletakkan dirinya sebagai status primadona atau diva,[129] namun percaya setiap tanggungjawab mempunyai tekanan tertentu.[130]
Tahun | Tajuk | Watak | Catatan |
---|---|---|---|
2006 | Goodbye Boys | Lara | Filem pertama |
2008 | I'm Not Single | Maya Borhan | |
2009 | Jangan Pandang Belakang Congkak | Mustika Sufirman | |
2010 | V3 Samseng Jalanan | Kamsah | |
Semerah Cinta Stilleto | Siti Laila / Stilla | ||
Lagenda Budak Setan | Ayu Sidaratul Dursina | ||
Kapoww | Siti Nurhasnita | ||
Zoo | Shila | ||
Jangan Pandang Belakang Congkak 2 | Mustika Sudirman | ||
2011 | Sekali Lagi | Sheila | |
Ombak Rindu | Mila Amylia Rashdan | ||
Papa I Love You | Elly | ||
2012 | Lagenda Budak Setan 2: Katerina | Ayu | Penampilan khas |
SAM: Saya Amat Mencintaimu | Lisa | ||
Istanbul Aku Datang | Dian | ||
2013 | Ular | Myra | |
2014 | Despicable Me 2 | Lucy | Alih suara (versi Bahasa Melayu) |
Lagenda Budak Setan 3: Kasyah | Ayu | Penampilan khas | |
Dendam Orang Mati[131][132] | Lena | ||
Manisnya Cinta Di Cappadoccia | Izelea | ||
2015 | Suamiku, Encik Perfect 10 | Aleeya Azmeen | |
Cicakman 3 | Linda | ||
Sinaran | Shila | ||
2018 | Wheely | Bella (suara) | |
2023 | Sumpahan Malam Raya | Dirinya sendiri | Penampilan khas |
Tahun | Tajuk | Watak | Saluran TV | Catatan |
---|---|---|---|---|
2002 | Gergasi | TV1 | Drama pertama | |
2004 | Ayah Kami | |||
2008 | Obsesi | Suriati | TV3 | |
Mertua vs Menantu | Astro Prima | |||
2009 | Mataku Nampak Hantu | Astro Ria | ||
2010 | 3 Janda[133] | Intan | Astro Prima | |
Tudung Ekspres[134][135] | Erin | Astro Ria | ||
2011 | Adamaya[136] | Maya | TV3 | |
Jeff's Place | TV2 | |||
2012 | Mana Hilangnya Juwita[137] | Anggun | Astro Ria | |
Oh My English! (Musim 2)[138] | Dirinya sendiri | Astro TVIQ | ||
2013 | Maskara | Lynn | TV1 | |
2018 | Jibril | Mona | ntv7 | |
Alamatnya Cinta | Astro Ria | Penampilan khas | ||
2020 | Pelindung Seorang Puteri | Rose | ||
2021 | Ramadan Pertama Edi | Sebagai penerbit | ||
2023 | Legenda Puteri Qaseh | Permaisuri Kalsom | Astro Ceria | |
2024 | Kiblat Ke Syurga | Dr. Khadijah | Astro Ria | |
Legenda Puteri Qaseh 2 | Permaisuri Kalsom | Astro Ceria | ||
Tahun | Tajuk | Watak | Saluran TV |
---|---|---|---|
2009 | Ponti Anak Remaja | Astro Ria | |
2010 | Azan[29] | Rosa | TV1 |
2011 | S3RAM: Tingkat Empat | Suhaila | Astro Ria |
2013 | Mamma Mamma Mia! | Leeya | |
2014 | Jawa Taiko[139][140] | Alisa | Astro Prima |
Strawberi & Karipap: Sesat Kat Paris | Sofea | Astro Ceria | |
2016 | Syahadah Yang Hilang | Zubaidah | Astro Citra |
2017 | Kontena Ana | Ana | |
2018 | Aku Posmen | Latifah | |
2019 | Geng | Mariam | Astro First Eksklusif |
Dah Mati Pun Cantik | Dr Dina | Astro Citra | |
2020 | 6 Hari | Suzi | |
Aku Posmen, Kau Latifah, Dia Joseph | Latifah | ||
Tahun | Tajuk | Watak | Pengarah |
---|---|---|---|
2012 | Teater Tun Siti Hasmah[40] | Siti Hasmah Mohd Ali | Erma Fatima |
Tahun | Tajuk | Peranan | Saluran TV | Catatan |
---|---|---|---|---|
2008 | Down Memory Lane | Pengacara | TV1 | |
2010 | MyEG Extra Time Bring It![31] | ESPN | ||
2010–2011 | Mari Menari | Astro Ria | mengacara bersama Awal Ashaari | |
2011 | Siti: Hiburan & Inspirasi | Artis undangan | ||
2012 | Maharaja Lawak Mega 2012 | Juri Tetap | ||
2013 | HBO Sentral[141] | Pengacara | HBO Asia | |
2014 | Pasport Cinta[50] | Dirinya sendiri | TV1 | |
2016–2017 | e-bu Babypedia | Pengacara | Astro Ria | |
2018 | Kata Serasi | Artis undangan | ntv7 | |
#throwback | Dirinya sendiri | Astro Maya HD | Episod 12 | |
Naura Shares | Naura HD | |||
2019 | Sepahtu Reunion Live | Murni | Astro Warna | Artis Jemputan: Episod "Jangan Ambil Setinggan Kami" |
Sepahtu Reunion Al-Puasa | Ayu | Artis Jemputan: Episod "Cucu London Tok Man" | ||
Tanya Pakar Dr. Imelda | Pengacara | Astro Ria | ||
Girls Day In | Naura HD | mengacara bersama Daphne Iking | ||
Maharaja Lawak Mega 2019 | Juri Tetap | Astro Warna | ||
2020 | Sepahtu Reunion Live | Detektif Laila | Artis Jemputan: Episod: "Dipenjara Kasih" | |
2021 | Gema Lawak Superstar | Juri Tetap | ||
2022 | Sepahtu Reunion Al-Raya | Yana | Artis Jemputan: Episod: "Guntingkan Kesedihanmu" | |
Sepahtu Reunion Live | Nadiah | Artis Jemputan: Episod: "Pengorbanan Paling Sempurna" | ||
MeleTOP | Pengacara jemputan | Astro Ria | ||
Sakinah, Mawaddah Warahmah | Pengacara | Astro Oasis | ||
Next To Neelofa (Musim 2) | Artis undangan | Astro Ria | ||
2023 | Innovathon | Pengacara | mengacara bersama Awal Ashaari | |
Sepahtu Reunion Live | Husna | Astro Warna | Artis Jemputan: Episod: "Scammer Romantis" | |
2023–2024 | Bidadari Syurga | Pengacara | Astro Oasis | |
Tahun | Tajuk | Penyanyi | Catatan |
---|---|---|---|
2004 | "Milikku" | Zahid AF2 (menampilkan Cat Farish) | |
2017 | "Abang Nak Tegur" | Aliff Syukri Kamarzaman dan Nur Sajat | Pembantu Penerbitan, Pembantu Pengarah Kedua |
Tahun | Produk/Iklan | Catatan | Sumber |
---|---|---|---|
1997 | Ovaltine | Penampilan iklan pertama | |
1999 | Celcom | ||
2000 | Johnson & Johnson | ||
2002 | |||
McDonald's | |||
2004 | Hotlink Siti Nurhaliza Fantasia Tour | bersama Siti Nurhaliza, Nadiya Nisaa dan Sazzy Falak | [15] |
Rexona | |||
MyEG | |||
2007 | Lip Ice | ||
2010 | Garnier | ||
Honda Icon | |||
2012 | DiGi Easy Prepaid | ||
Freshlook | [142] | ||
2013 | Marigold Peel Fresh | ||
bersama Shaheizy Sam | |||
2014 | Sofy BodyFit | ||
Astro Kosong-Kosong | |||
2015 | Courts | bersama Harith Iskander | |
Oral-B | |||
2019 | Cetaphil | ||
Ogawa | [143] | ||
2022 | Astro | [144] | |
Populariti massa Lisa Surihani telah memperlihatkan beliau menjadi duta dan jurucakap bagi pelbagai produk termasuk jenama kosmetik antarabangsa Garnier,[145][146][147][148] jenama minuman buah-buahan Marigold Peel Fresh[149][150][151][152][153][154] serta produk penjagaan pergigian Oral-B dan juga sebagai duta Courts bersama Harith Iskander.[155][156] Selain itu, beliau juga menjadi duta dan jurucakap untuk pelbagai jenama tempatan dan antarabangsa, antaranya termasuk Lip Ice Sheer Color, Freshlook, WeChat, Rexona dan Sofy BodyFit.
Pada tahun 2012, Lisa ialah antara individu yang telah dipilih menjayakan kempen "Saya Pilih Malaysia" yang dianjurkan oleh Kerajaan Malaysia, selebriti dan tokoh terkemuka yang terlibat termasuk Datuk Siti Nurhaliza, Aizat Amdan, Reshmonu, Soo Wincci dan bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad.[157] Beliau bersama-sama dengan Fahrin Ahmad menjayakan kempen Shell Eco-marathon Asia 2014 dengan memulakan cabaran memandu selama dua hari di Lembah Klang, dari 15 dan 16 Januari 2014.[158] Beliau ialah antara selebriti yang mengambil bahagian dalam kempen larian amal #AnakAnak Malaysia Walk 2016 yang diadakan pada 14 Ogos 2016 anjuran Star Media Group Berhad dan Ecowood, selain Lisa, selebriti lain yang terlibat termasuk atlet bina badan Sazali Samad, pereka Datuk Jimmy Choo, pelawak Harith Iskander dan pengacara Elaine Daly.[159]
Pada 21 Februari 2017, Lisa telah dilantik sebagai Duta Muhibah bagi Tabung Kecemasan Kanak-Kanak Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu cawangan Malaysia (UNICEF). Peranan ini memperlihatkan beliau mengatasi isu termasuk keganasan terhadap kanak-kanak, buli siber, penderaan/eksploitasi seksual dan keselamatan digital. Ditanya mengenai pemilihannya sebagai duta daru UNICEF Malaysia, beliau berkata: "Saya teruja selepas dipilih menjadi duta kepada organisasi terbesar dunia ini dan sedar ini merupakan satu tanggungjawab berat. Namun, tugas ini tepat pada masanya memandangkan saya juga seorang ibu dan mempunyai pengalaman luas dalam kerja-kerja sukarelawan sebelum ini terutama semasa di alam persekolahan lagi,".[7] Beliau juga merupakan salah seorang duta kempen MPs Against Predators anjuran R.AGE bagi menangani isu berkaitan penderaan seksual kanak-kanak.[160][161] Beliau bersama Harith Iskander, Fahrin Ahmad dan Hunny Madu mempromosikan seminar kesedaran jenayah seksual kanak-kanak “Hentikan!!” yang diadakan pada Mac.[162][163]
Pada 2 April 2018, R.AGE dan SP Setia telah melantik Lisa sebagai duta kempen #StandTogether National Kindness Week yang bertujuan bagi membendung gejala buli di sekolah, dengan 300 sekolah mengambil bahagian.[164] Pada Julai 2018, Lisa bersama selebriti tempatan termasuk Farahdhiya dan Wany Hasrita berkongsi rasa sedih terhadap peristiwa yang menimpa kanak-kanak, Adam Rayqal yang dilaporkan hilang diculik sebelum dijumpai mati di rumah pengasuhnya di Kampung Nakhoda, Batu Caves, Selangor.[165]
Beliau menyertai kursus selama dua hari bersama CyberSecurity Malaysia dan menerima sijil Certified Information Security Awareness Manager (CISAM) pada Ogos 2018 bagi membantu ibu bapa muda dan memberikan pemahaman mengenai penggunaan gajet di kalangan kanak-kanak.[166]
Sejak 2008, Lisa Surihani telah meraih 3 trofi Festival Filem Malaysia di mana beliau memenangi kategori Pelakon Harapan Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-21 menerusi filem I'm Not Single dan Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Lagenda Budak Setan pada 2010 dan Istanbul Aku Datang pada 2014.
Di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010, beliau memenangi Pelakon Filem Wanita Popular, menewaskan Diana Danielle, Liyana Jasmay, Scha Al-Yahya dan Maya Karin. Beliau menerima anugerah Persembahan Komedi Terbaik (Filem) di Anugerah Lawak Warna 2013 menerusi hasil kerjanya dalam filem Istanbul Aku Datang. Selain itu, beliau juga menerima pencalonan Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah dan Festival Filem Antarabangsa ASEAN 2013 menerusi filem sama, namun dimenangi oleh pelakon Filipina, Alessandra de Rossi. Pada tahun 2014, beliau menerima pencalonan di Anugerah Nickelodeon Kids' Choice bagi kategori Favourite Asian Act, tetapi tewas di tangan penyanyi Hong Kong, G.E.M.
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.